KYIV: Presiden, Ukraine, Volodymyr Zelensky menggesa Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump untuk memainkan peranan sebagai pendamai bagi menamatkan perang di Ukraine, sama seperti usahanya menamatkan konflik di Asia Barat.
Gesaan itu disampaikan menerusi panggilan telefon pada Sabtu, di mana Zelensky menyatakan keyakinannya jika Trump mampu menghentikan satu peperangan, peperangan lain juga boleh dihentikan.
Panggilan itu berlangsung sehari selepas Russia melancarkan serangan besar-besaran terhadap rangkaian tenaga Ukraine, menyebabkan gangguan bekalan elektrik di sebahagian ibu negara Kyiv dan sembilan wilayah lain.
Usaha diplomatik untuk menamatkan pencerobohan Russia dilihat semakin perlahan beberapa bulan kebelakangan ini, sebahagiannya disebabkan tumpuan global yang kini beralih kepada perang Israel-Hamas yang memasuki tahun kedua.
Trump sebelum ini mengumumkan fasa pertama perjanjian gencatan senjata antara Israel dan Hamas pada Rabu lalu, namun percubaannya untuk mendapatkan persetujuan damai dengan Presiden Russia Vladimir Putin dalam pertemuan Ogos lalu tidak membuahkan hasil.
“Saya baru sahaja berbual dengan Trump, ia satu perbualan yang sangat positif dan produktif,” kata Zelensky di Facebook, sambil mengucapkan tahniah kepada Trump atas rancangan gencatan senjata cemerlangnya di Asia Barat.
“Jika satu peperangan boleh dihentikan di satu rantau, maka peperangan lain juga pasti boleh dihentikan, termasuk perang Russia ini,” tambahnya, menyeru agar Trump menggunakan pengaruhnya untuk menekan Kremlin supaya memulakan rundingan.
Hubungan antara kedua-dua pemimpin itu dilaporkan semakin baik sejak Februari lalu, selepas mereka sebelum ini berselisih pendapat dalam satu pertemuan yang menjadi tular di Rumah Putih.
Trump kini dilihat lebih tegas terhadap Moscow sambil menunjukkan sokongan yang semakin meningkat kepada Ukraine.
Pada September, beliau menulis di platform Truth Social Kyiv seharusnya ‘merebut semula’ semua wilayah yang diduduki dengan bantuan Eropah dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO). -AFP










