Data Survei DOSM bukan gambaran sebenar pelancongan di Pulau Pinang - Hon Wai

Data Survei DOSM bukan gambaran sebenar pelancongan di Pulau Pinang – Hon Wai

WONG Hon Wai menunjukkan Survei Pelancongan Domestik 2024 terbitan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Kerajaan negeri menafikan dakwaan Pulau Pinang ‘ketinggalan’ di belakang Perak dari segi jumlah pelancong domestik.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri, Wong Hon Wai berkata, Survei Pelancongan Domestik 2024 terbitan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM)  tidak sepatutnya dijadikan rujukan mutlak kerana ia hanyalah hasil kajian pensampelan terhadap isi rumah dan bukan berdasarkan rekod sebenar pelancongan.

Beliau berkata, kaedah yang digunakan juga adalah terhad dan tidak mencerminkan situasi sebenar industri pelancongan di Pulau Pinang.

“Laporan itu sebenarnya hanya berdasarkan soal selidik ke atas isi rumah dan bukannya data penginapan hotel atau maklumat pelawat sebenar yang berada di lapangan seperti di hotel, lapangan terbang atau lokasi pelancongan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) Pulau Pinang sebelum ini mempersoalkan prestasi pelancongan domestik negeri yang jatuh merudum susulan pendedahan DOSM menunjukkan negeri ini hanya menerima 4.8 juta pelawat domestik sepanjang 2024, jauh ‘tertinggal’ di belakang beberapa negeri lain.

Pengerusi Muda Pulau Pinang, Andika Putera berkata, angka tersebut adalah tamparan besar kepada negeri yang diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO dan terkenal di seluruh negara sebagai pusat budaya, makanan dan warisan.

Menurut Hon Wai, data rasmi daripada Tourism Malaysia bagi tahun 2024 menunjukkan Pulau Pinang mencatatkan seramai 5,236,584 pelancong tempatan yang menginap di hotel, jauh lebih tinggi berbanding Perak yang hanya merekodkan 4,186,503 orang.

“Ini membuktikan bahawa Pulau Pinang kekal sebagai destinasi pelancongan utama dalam negara. Data penginapan hotel adalah lebih tepat kerana ia mewakili rekod sebenar,” katanya.

Hon Wai turut mempersoalkan ketepatan pemilihan responden dalam survei berkenaan yang tidak melibatkan pelancong sebenar tetapi hanya berdasarkan ingatan isi rumah terhadap perjalanan dalam tempoh setahun.

“Mereka yang ditemu bual bukan pelancong. Sebaliknya, isi rumah biasa yang ditanya tentang kenangan perjalanan. Ini menjadikan data bersifat subjektif dan retrospektif,” katanya.

Beliau berkata, takrifan pelancong yang digunakan oleh DOSM juga adalah terlalu umum kerana ia turut melibatkan pelawat sehari yang tidak bermalam.

“Sebanyak 66.8 peratus pelawat domestik dalam laporan itu adalah pelawat sehari. Mereka ini biasanya berbelanja minimum dan sukar dikesan oleh pengusaha pelancongan. Sumbangan ekonomi mereka adalah terhad,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN