Bila ‘Spiderman’ datang tengok Spider - Utusan Malaysia

Bila ‘Spiderman’ datang tengok Spider

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Vokalis kumpulan Spider, Tam Mustafah, terharu apabila ada peminat yang menyarungkan kostum ‘Spiderman’ tanda sokongan semasa persembahan mereka di Konsert Jiwa Kacau, baru-baru ini.

Jelas Tam, ini adalah kali pertama dia melihat peminat berpenampilan seperti itu sekali gus membuatkan ahli Spider yang lain iaitu Aie (dram), Iss (bes) dan Pown (gitar) semakin bersemangat di atas pentas.

“Saya tak pernah pula nampak Spiderman datang ke konsert. Tapi mungkin sebab malam itu tema konsert ialah pakaian berkostum, itu yang ada pakai baju Spiderman.

“Bila nampak ada peminat pakai begitu dan nyanyi sama-sama, kami jadi lebih bersemangat,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Jelas Tam lagi, dia tidak menyangka pada usia 51 tahun, kumpulan Spider semakin banyak menerima undangan bernyanyi di konsert atau festival yang dipenuhi anak muda.

“Kalau nak diikutkan, saya ada perasaan segan bila buat persembahan di konsert orang muda. Ada terfikir, betulkan anak muda ini dengar Spider? Tapi di Konsert Jiwa Kacau tak sangka penonton pun layan juga.

“Saya sebenarnya tak tahu macam mana nak pastikan sudah dapat pendengar muda atau tidak.

“Cuma belakangan ini Spider banyak terima undangan persembahan di konsert atau festival anak muda. Saya angggap petanda baik,” katanya.

Impak persembahan Sabtu lalu, penyanyi Tapi Bagaimana itu menerima beberapa komen peminat meluahkan rasa terkilan apabila Spider tidak menyanyikan lagu kesukaan mereka.

“Saya cuma nak beritahu, kita simpan banyak susunan muzik dan lagu terbaik untuk Spider Unplugged Concert, 25 Oktober depan.

“Jadi saya jemput semua ke konsert itu nanti,” katanya.

Terdahulu, Spider merupakan antara artis yang memeriahkan Konsert Jiwa Kacau di Stadium Hoki Bukit Jalil, pada Sabtu.

Selain Spider, artis lain yang turut membuat persembahan ialah Wali Band, Kerispatih, Bunkface, The Lantis dan Hujan. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN