KUALA LUMPUR: Bekas penyanyi, Erna Elliyana Rosli dan suaminya, Syed Mahadzir Fadaak Syed Jamil Fadaak dikenakan hukuman penjara 20 hari kerana menghina mahkamah selepas gagal mematuhi perintah injunksi Mareva.
Injunksi Mareva ialah perintah sementara yang menghalang defendan daripada melupuskan aset sehingga keputusan dicapai dalam kes antara plaintif dan defendan.
Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi, Yusrin Faidz Yusoff menjatuhkan hukuman tersebut selepas mendapati Erna Elliyana dan Syed Mahadzir gagal mematuhi perintah bertarikh 5 September dan 22 November 2024.
Pasangan itu juga masing-masing didenda RM10,000 oleh mahkamah dengan jumlah tersebut diperintahkan untuk dibayar dalam tempoh tujuh hari bermula hari ini, jika gagal, hukuman penjara masing-masing boleh ditambah lagi tujuh hari.
Bagaimanapun, mahkamah menangguhkan pelaksanaan hukuman itu selama dua bulan bagi membolehkan kedua-dua pengarah firma pelaburan, AlphaCapital (M) Bhd. itu mengemukakan segala dokumen sebagaimana yang diperintahkan sebelum ini.
“Melihat kepada keseluruhan keadaan, mahkamah tidak terpujuk bahawa denda sahaja mencukupi atau merupakan hukuman yang adil. Tindakan menyembunyikan maklumat penting secara sengaja, kegagalan mematuhi perintah dalam tempoh yang berpanjangan serta sifat strategik ketidakpatuhan tersebut memerlukan tindak balas tegas.
“Perbuatan menghina mahkamah ini menyentuh kepada kemampuan mahkamah untuk menguatkuasakan perintah-perintahnya,” kata Yusrin Faidz Yusoff.
Terdahulu, pasangan terbabit memohon maaf di atas perbuatan mereka dan mendakwa tidak memahami perintah yang diberikan sebelum ini.
“Kami tak berniat ingin menghina mahkamah, kami tidak memahami apa yang dipinta (dalam injunksi Mareva) tersebut. Sekarang setelah dijelaskan kepada saya, kami akan kemukakan (dokumen yang diminta). Kami tiada apa yang hendak disembunyikan.
“Audit kini sedang berjalan tetapi kami hanya memperoleh draf laporan audit kerana tidak mampu untuk membuat pembayaran kepada syarikat audit berikutan kesemua akaun bank kami telah dibekukan,” kata Syed Mahadzir Fadaak.
Pasangan itu dikenakan perintah injunksi Mareva dalam kes saman membabitkan 64 pelabur yang menyaman Alpha Capital kerana melanggar kontrak yang melibatkan jumlah keseluruhan RM19,831,440.50.
Saman itu difailkan pada akhir tahun lalu selepas syarikat gagal membayar pulangan dividen bulanan.
Pada prosiding hari ini, peguam Sachpreetraj Singh dan Simran Kaur hadir mewakili 64 pelabur manakala pasangan tersebut diwakili oleh peguam Ganesh Magenthiran.-UTUSAN










