Bakal himpun 120,000 penonton MCR, SNBJ catat sejarah - Utusan Malaysia

Bakal himpun 120,000 penonton MCR, SNBJ catat sejarah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT JALIL : Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) mencatat sejarah tersendiri apabila konsert kumpulan rock terkenal dunia, My Chemical Romance (MCR) berjaya mencatat jualan tiket terbanyak iaitu 120,000 bagi dua malam persembahan berturut-turut pada 30 April dan 1 Mei 2026.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), Ilyas Jamil, bukan sahaja di Malaysia, jualan tiket tersebut sekali gus mencatatkan rekod jualan tiket tertinggi yang pernah diadakan di rantau Asia Tenggara.

“Di SBNJ ini, buat pertama kali kita ada konsert yang berlangsung selama dua malam berturut-turut. Justeru, menjadi satu kebanggaan kerana kami tidak pernah adakan malam kedua untuk sesebuah konsert besar di stadium ini.

“Saya juga diberitahu, jumlah 120,000 penonton konsert MCR ini, adalah yang terbesar di rantau ini. Kalau lihat di Singapura, Indonesia dan Thailand dan sebagainya, semua berlangsung dalam stadium tertutup.

“Cuma di Malaysia sahaja ada keistimewaan ini.
Ini adalah usaha bersama semua pihak terlibat demi menyakinkan MCR tampil untuk malam kedua di sini,”katanya.

Ilyas berkata demikian semasa ditemui pemberita pada sesi sidang media khas mengenai jualan tiket konsert MCR, di Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini, hari ini.

Selain itu, Ilyas berkata, pihaknya berbangga dengan kejayaan Hello Universe sebagai penganjur tempatan yang mempunyai kredibiliti tinggi sehingga mampu merealisasikan pencapaian tersebut.

“Kalau ikutkan, rekod sebelum ini, kebanyakan konsert artis luar negara di stadium ini dibawakan oleh penganjur antarabangsa atau pun mereka yang mempunyai operasi di sini.

“Saya juga difahamkan, beberapa artis antarabangsa ‘A-List’ lain turut berada dalam perancangan untuk beraksi di stadium ini pada tahun hadapan.

“Setakat pertengahan tahun hadapan, kami sudah ada tiga persembahan berskala besar yang akan berlangsung di stadium ini dan dijangka masih ramai lagi yang akan singgah di negara ini bertepatan dengan Tahun Melawat Malaysia 2026,”katanya.

Sementara itu, Ilyas menjelaskan, sebanyak 30 peratus pembeli tiket adalah penonton luar negara sekali gus berjaya menarik sekitar 40,000 pelancong ke negara ini hanya untuk konsert ini sahaja.

“Kami percaya ini adalah sumbangan besar kepada ekonomi negara terutama dari aspek cukai hiburan, industri hotel, penerbangan, makanan, pengangkutan dan lain-lain,”katanya.

Terdahulu, My Chemical Romance pernah datang ke Malaysia dalam siri jelajah The Black Parade World Tour sekitar tahun 2007 di Stadium Merdeka yang menghimpunkan lebih 10,000 peminat.

Ini merupakan kemunculan buat pertama kali kumpulan berkenaan sejak lebih 18 tahun lalu, sekali gus membuatkan ramai penggemar tegar teruja.

Band yang diasaskan pada 2001 itu dibarisi Gerard Way selaku vokalis; Ray Toro (gitar); Frank Iero (gitar) dan Mikey Way (bes).

Mereka dikenali dengan lagu Welcome to The Black Parade, Helena, I Don’t Love You dan I’m Not Okay. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN