PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Kompleks Seri Perdana, di sini sebentar tadi bagi menghadiri perjumpaan dengan Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH).
Kenderaan yang membawa Pengerusi PH itu tiba tepat pukul 4.30 petang dengan diiringi kenderaan pengiring polis.
Media sebelum ini melaporkan, Anwar dijangka mengadakan pertemuan dengan semua Ahli Parlimen PH dipercayai bagi membincangkan isu-isu semasa yang berlegar ketika ini.
Terdahulu, beberapa kenderaan pelbagai guna (MPV) mewah dipercayai milik menteri dan ahli parlimen daripada (PH) dilihat mulai memasuki pekarangan kediaman rasmi Perdana Menteri, Seri Perdana, sebentar tadi.
Dilihat mula memasuki bangunan itu adalah kenderaan dinaiki Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming sekitar pukul 3.45 petang.
Selepas itu, kenderaan membawa Menteri Kesihatan yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Turut kelihatan memasuki bangunan Seri Perdana termasuk kenderaan yang membawa kenderaan yang membawa Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amiruddin Shaari.
Jumaat lalu, Anwar turut mengadakan pertemuan bersama semua Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) di Kompleks Seri Perdana.
Difahamkan, pertemuan itu bagi memperkukuhkan persefahaman dan menjelaskan beberapa isu membabitkan dasar kerajaan.
Antara perkara yang dibincangkan termasuk isu pemilihan Ketua Hakim Negara, cadangan penyasaran subsidi RON95 serta spekulasi berkaitan cukai.
Sekumpulan pengamal media terdiri wartawan dan jurukamera pelbagai agensi media mula berkumpul di luar perkarangan bangunan Kompleks Seri Perdana bagi mengikuti perkembangan pertemuan itu.-UTUSAN










