KUALA LUMPUR: Kenyataan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming bahawa kira-kira 20 tan sampah ditinggalkan selepas perhimpunan ‘Turun Anwar’ pada Sabtu tidak selari anggaran peserta yang himpunan Turun Anwar oleh polis.
Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) berkata, anggaran polis bahawa 18,000 hadir demonstrasi berkenaan jadi mana mungkin mereka boleh meninggalkan 20 tan sampah.
“Menteri kata 20 tan, bersamaan dengan 20,000 kg. Kalau seorang bawa satu botol kosong… 20,000kg, maknanya yang hadir 400,000,” katanya ketika sesi soal jawab di Parlimen hari ini.
Meskipun polis menganggarkan 18,000 hadir, penganjur perhimpunan mendakwa kira-kira 500,000 peserta hadir pada perhimpunan itu.
Kor Ming ketika membalas pertanyaan Awang itu berkata angka 20 tan itu datang daripada Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), yang turut melaporkan keperluan tenaga kerja tambahan untuk kerja pembersihan selepas perhimpunan itu.
“Saya tidak menafikan ada ahli unit Amal membantu, dan saya berterima kasih kepada mereka.
“Tetapi 20 tan sampah yang tinggal di Sogo, Jalan Petaling, dan Dataran Merdeka tidak boleh dinafikan,” tegasnya.
Tuduhan bertubi-tubi Awang bahawa Kor Ming berbohong membawa kepada kekecohan sebentar di Dewan Rakyat, dengan ahli Parlimen Pas lain menyuarakan sokongan mereka. – UTUSAN