PETALING JAYA: Seramai 222 pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) disahkan positif HIV sepanjang tahun lalu, dengan majoriti mereka berusia antara 18 hingga 19 tahun.
Pendedahan itu dilaporkan sebuah stesen televisyen pada 1 Julai lalu dan menimbulkan kebimbangan terhadap gejala sosial yang semakin membarah dalam kalangan belia.
Gerakan Ekonomi Malaysia (GEM) menyifatkan angka berkenaan sebagai satu isyarat jelas berlakunya krisis moral dan kesihatan awam yang memerlukan campur tangan segera semua pihak.
Presidennya, Dr. Armin Baniaz Pahamin berkata, peningkatan kes HIV dalam kalangan pelajar mencerminkan kegagalan sistem pendidikan dan institusi sosial dalam menyampaikan pendidikan kesihatan seksual secara berkesan dan berlandaskan nilai agama serta budaya tempatan.
“Golongan pelajar sepatutnya menjadi aset negara, namun kini terdedah kepada gejala berisiko tinggi seperti jangkitan HIV disebabkan pergaulan bebas, kurang bimbingan agama, tekanan sosial di kampus dan pengaruh media sosial,” katanya menerusi satu kenyataan.
Katanya, antara punca utama penularan wabak itu termasuk ketiadaan pendidikan kesihatan reproduktif yang menyeluruh, budaya liberal di kampus serta penjualan kondom dan ubat perangsang secara terbuka.
Sehubungan itu, GEM menggesa kerajaan mewajibkan subjek Pendidikan Seksual Bersepadu berlandaskan agama dan budaya di peringkat sekolah menengah dan IPT.
Katanya, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pengajian Tinggi juga perlu berganding bahu melaksanakan saringan HIV berkala, pendidikan pencegahan dan penubuhan pusat intervensi awal serta kaunseling di semua IPT.
“Langkah penguatkuasaan terhadap aktiviti tidak bermoral turut perlu diperkukuh, selain melibatkan peranan ibu bapa dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam membina sistem sokongan lebih utuh kepada pelajar yang berisiko,” katanya.
Menurutnya, negara bakal kehilangan modal insan sekiranya isu itu terus dibiarkan tanpa sebarang tindakan tegas dan menyeluruh.
“Kita tidak mampu lagi bertolak ansur. Sudah tiba masanya semua pihak memainkan peranan,” katanya. – UTUSAN