TANAH MERAH: Seorang remaja lelaki maut selepas motosikal yang ditungganginya bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di Jalan Ismail Petra, di sini awal pagi tadi.
Mangsa, Muhamad Fahmi Ibrahim, 18, yang sedang menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), meninggal dunia di lokasi kejadian.
Sementara itu, rakannya, Muhammad Hafiz Osni, 18, yang membonceng motosikal tersebut mengalami kecederaan parah dan sedang menerima rawatan di Hospital Tanah Merah (HTM).
Ibu mangsa, Siti Raniza Ibrahim, 51, berkata dia menerima berita duka itu daripada orang awam kira-kira pukul 2.30 pagi melalui telefon bimbit milik anaknya.
Katanya, sebelum kejadian, Muhamad Fahmi memaklumkan bahawa dia mahu keluar berbuka puasa bersama rakan-rakannya.
“Saya tidak mengesyaki apa-apa yang buruk sehinggalah dimaklumkan anak bongsu saya daripada tiga beradik itu terlibat dalam kemalangan,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Tanah Merah, di sini hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Superintendan Mohd. Haki Hasbullah berkata, siasatan awal mendapati bahawa semasa kejadian, kenderaan pacuan empat roda jenis Ford Ranger yang datang dari arah bandar Tanah Merah cuba memotong kenderaan lain di hadapan.
Katanya, pemandu pacuan empat roda itu kemudian dipercayai telah memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan motosikal jenis Yamaha 135LC yang dinaiki dua remaja terbabit.
“Kemalangan dipercayai berpunca daripada kecuaian pemandu kenderaan pacuan empat roda yang memotong secara berbahaya sehingga memasuki laluan bertentangan.
“Pemandu kenderaan pacuan empat roda masih belum dikenal pasti dan dipercayai telah melarikan diri dari lokasi kejadian,” ujarnya. – UTUSAN










