KANGAR: Pejabat Perdana Menteri melalui Pejabat Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) negeri akan membantu membina rumah baharu kepada mangsa kebakaran di Pulau Ketam.
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Keadilan Perlis, Noor Amin Ahmad berkata, menerusi bantuan itu, setiap rumah yang musnah 100 peratus akan dibina semula dengan peruntukan sebanyak RM80,000 sebuah.
Beliau berkata, sebelum ini, sumbangan wang tunai berjumlah RM10,000 telah diberikan kepada mangsa terlibat dan terdapat tambahan peruntukan sebanyak RM3,000 turut disediakan buat penduduk terkena tempias kebakaran itu.
“Menerusi perbincangan bersama pihak ICU, maka telah dipersetujui untuk Pejabat Perdana Menteri keluarkan sejumlah peruntukan bagi menggantikan lima buah rumah yang terlibat itu pada nilai RM80,000 sebuah.
“Kita juga sudah jumpa mangsa untuk maklumkan perkembangan ini dan mereka meluahkan rasa gembira serta syukur atas bantuan ini,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1 tengah hari semalam, lima buah rumah di Pulau Ketam musnah dalam kebakaran yang menyaksikan mangsa tinggal sehelai sepinggang.
Noor Amin berkata, pihaknya juga akan mendapatkan persetujuan daripada kerajaan negeri untuk memberi kelulusan menerusi Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri bagi membolehkan kerja pembinaan rumah mangsa terlibat dapat disegerakan.
“Jika dilihat pada situasi, saya percaya langkah pembaikan dan pemulihan akan berjalan secepat mungkin,” katanya. – UTUSAN










