Kerajaan teliti cadangan tubuh jawatankuasa tangani isu ‘e-waste’ - Utusan Malaysia

Kerajaan teliti cadangan tubuh jawatankuasa tangani isu ‘e-waste’

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan sedang meneliti cadangan penubuhan Jawatankuasa Kebangsaan bagi Menangani Sisa E-Waste Haram bagi memastikan isu berkaitan dapat diselesaikan secara menyeluruh.

Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam dalam kenyataan berkata, cadangan penubuhan jawatankuasa itu dibincangkan pada Mesyuarat Pasukan Petugas Khas Penguatkuasaan NRES Bil 1/2026 yang dipengerusikan Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Syed Ibrahim Syed Noh, Isnin lalu.

Katanya, mesyuarat berkenaan menekankan pengukuhan tindakan penguatkuasaan pelbagai isu berkaitan alam sekitar termasuk kemasukan e-waste haram.

“Antara isu utama yang dibincangkan adalah lambakan kontena e-waste di pelabuhan, kesukaran mengenal pasti pemilik kontena dan kilang haram e-waste, kekangan pengurusan barang sitaan serta cabaran dalam proses pelupusan dan tindakan undang-undang,” katanya hari ini.

Sebelum ini, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, kementerian itu bercadang untuk menubuhkan Jawatankuasa Kebangsaan Bagi Menangani Isu Kemasukan E-Waste Haram.

Beliau berkata penubuhan jawatankuasa terbabit bagi memastikan isu berkaitan e-waste atau sisa elektronik haram dapat diselesaikan secara tuntas dengan pendekatan keseluruhan negara.

Dalam pada itu , kementerian memaklumkan mesyuarat turut meneliti perkembangan operasi penguatkuasaan termasuk Op Bongkar Kontena dan Op Hazard bagi mengekang kemasukan buangan berjadual ke negara.

“Sebagai langkah ke hadapan, beberapa cadangan strategik telah dikenal pasti termasuk cadangan penubuhan pejabat cawangan Jabatan Alam Sekitar (JAS) di Pelabuhan Klang.

“Cadangan lain ialah pindaan Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023 serta pengukuhan pengurusan barang sitaan dan logistik penguatkuasaan,” ujarnya.

Kementerian juga memaklumkan pasukan petugas khas ini akan bermesyuarat secara berkala setiap bulan atau mengikut keperluan bagi memastikan tindakan penguatkuasaan dilaksanakan secara terselaras, berfokus dan berkesan. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN