Sawan tiap lima minit, wanita cekal bedah otak secara sedar. - Utusan Malaysia

Sawan tiap lima minit, wanita cekal bedah otak secara sedar.

NORAINI Pitrus (kiri) bersama suaminya, Abdul Hairil Oben, ketika ditemui di perkarangan Hospital Tawau, Sabah, selepas menjalani rawatan. UTUSAN/NASRAWATI SYARIFUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAWAU: Serangan sawan berulang setiap beberapa minit dan sakit kepala menjadi penderitaan harian seorang wanita sebelum mengambil keputusan menjalani pembedahan otak dalam keadaan sedar.

Noraini Pitrus, 48, berkongsi pengalamannya itu sebagai pesakit pertama di Pantai Timur Sabah yang menjalani prosedur pembedahan berkenaan.

Sebelum menjalani pembedahan, Noraini kerap mengalami serangan sawan sehingga menjejaskan kehidupan hariannya.

Beliau juga terpaksa menempuh perjalanan sejauh 109 kilometer (KM) untuk mendapatkan rawatan di Hospital Tawau setiap kali diserang sakit itu.

“Setiap lima minit saya boleh kena sawan dan sakit kepala sangat teruk sampai menangis. Saya juga kerap keluar masuk wad.

“Jarak perjalanan dari rumah saya (Semporna) ke Hospital Tawau bukannya dekat, jadi saya akhirnya mengambil keputusan untuk menjalani pembedahan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di perkarangan Hospital Tawau, di sini, baru-baru ini

Noraini yang menceritakan pengalamannya ketika menjalani pembedahan itu berkata, walaupun seluruh bahagian kepala sudah dibius, dia masih dapat mendengar setiap perbualan doktor pakar dan bunyi mesin di dalam bilik pembedahan.

Antara perkara yang paling diingatinya ialah apabila doktor memintanya melakukan beberapa aktiviti seperti menyanyi, mengira dan menyebut namanya sendiri bagi memastikan fungsi otaknya berada dalam keadaan baik sepanjang prosedur pembedahan.

“Saya sedar sepanjang pembedahan itu. Saya boleh mendengar semua bunyi dan perbualan doktor. Setiap perkara yang mereka mahu lakukan akan dimaklumkan terlebih dahulu supaya saya bersedia.

“Ketika itu saya hanya merasa sedikit sakit semasa suntikan pada tangan, tetapi sepanjang berada di dalam bilik pembedahan saya tenang kerana doktor sudah memberikan latihan dan penerangan terlebih dahulu.

“Saya ingat lagi doktor suruh saya menyanyi. Saya tidak pasti lagu apa, tetapi itu sebagai cara untuk saya kekal tenang dan tidak gementar,” katanya.

Noraini yang juga menghidap penyakit buah pinggang berkata, keputusan menjalani pembedahan itu dibuat selepas berbincang dengan suami dan tiga anak perempuannya.

“Saya ada tiga orang anak. Mereka yang bantu saya untuk kekal semangat jalani pembedahan. Suami saya pun banyak berikan sokongan moral kepada saya kerana dia mahu lihat saya sihat.

“Alhamdulillah selepas pembedahan ini, saya tidak diserang sawan dan sakit kepala. Saya harap penyakit saya itu tidak menyerang lagi.

Menurutnya, bukan semua pesakit sesuai menjalani pembedahan otak secara sedar kerana doktor perlu menilai keadaan pesakit terlebih dahulu sebelum membuat keputusan.

Beliau turut menjalani sesi temuduga sebanyak tiga kali bagi memastikan dirinya layak menjalani pembedahan secara sedar.

“Pada mulanya doktor bercadang melakukan pembedahan secara biasa iaitu bedah secara tidak sedar. Tetapi saya fikir, bagaimana jika saya bangun nanti dalam keadaan strok atau hilang upaya.

“Saya rasa kasihan kepada anak-anak yang terpaksa menjaga saya jika saya sakit. Jadi doktor memberi saranan untuk menjalani pembedahan secara sedar dan saya layak selepas temuduga,” katanya.

Katanya, prosedur pembedahan dimulakan dengan pakar bius memberikan kira-kira 12 suntikan bius pada bahagian kepala sebelum tempurung kepala dibuka.

Tambahnya, pembedahan itu sepatutnya dilakukan pada Januari lalu, namun terpaksa ditangguhkan apabila beliau mengalami batuk dan selsema.

“Doktor tidak mahu mengambil risiko sekiranya saya terbatuk ketika tempurung kepala dibuka. Jadi pembedahan hanya dapat dilakukan pada Februari,” katanya.

Sementara itu, suaminya, Abdul Hairil Oben, 46, berkata, beliau bersyukur apabila doktor memaklumkan bahawa pembedahan selama dua jam 30 minit itu berjaya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua petugas kesihatan yang banyak membantu mereka sepanjang berada di hospital.

“Doktor keluar dari bilik pembedahan dan memberitahu bahawa isteri saya seorang yang sangat kuat. Saya sangat bersyukur semuanya berjalan dengan baik,” katanya.

“Saya juga ingin berterima kasih kepada jururawat yang menjaga kami sepanjang berada di hospital. Mereka semua sangat baik dan banyak membantu kami,” katanya.

Terdahulu, Hospital Tawau berjaya melaksanakan prosedur pembedahan otak dalam keadaan sedar (awake craniotomy) yang pertama di Pantai Timur Sabah pada 23 Februari lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN