‘IBU ingat lagi, waktu itu dia nyanyi lagu Di Pinggiran. Tak ada siapa pandang. Tak ada siapa layan. Tapi dia tetap senyum. Yalah, khabar angin yang buruk-buruk sudah bertebaran.’
Lebih kurang begitulah perbualan saya dengan Ibu – seo rang pela kon vete ran di suatu pagi beberapa tahun lepas.
Ketika itu laporan akhbar mengatakan P. Ramlee meninggal dunia kerana serangan jantung. Tapi dalam ingatan Ibu, legenda itu berangkat ke negeri abadi kerana sudah tak larat menanggung patah hati kerana dibenci.
Saya fikir syot awal filem Mencari Ramlee merakamkan itu. Tak semua orang berasa sedih ketika P. Ramlee meninggal dunia – tauke panggung, tiga samseng di sebuah warung, Salleh dan Joned.
Cuma hanya Zakaria dan Yusuf sahaja yang berasa hilang (tetap tidak sedih) kerana Zakaria tiada cara lain mencari makan, manakala Yusuf takut kakaknya yang hilang ingatan makin meroyan.
Mencari Ramlee arahan Megat Sharizal, juga ditulis bersama Lepat Ha z mempunyai premis menarik. Bagaimana seorang peniru gaya P. Ramlee, Zakaria sukar dapat kerja sejak P. Ramlee meninggal dunia membuatnya hanya makan biskut kering.
Seorang gangster, Yusuf pula mengupahnya untuk menyamar menjadi P.Ramlee kerana kakaknya, Zaiton merupakan peminat berat P.Ramlee.
Dia mempunyai masalah amnesia terperangkap dalam zaman 50-an dan berbual dengan P.Ramlee satu-satunya bahagia yang boleh dicipta. Saya berpendapat, anda akan kecewa sekiranya menyangka cerita ini adalah tentang Zakaria (Tony Euso ) dan Zaiton (So a Jane).
Walaupun cerita ini sudah berjalan satu jam di layar, saya tetap tidak mengenali Zakaria – mengapa dia menjadi peniru P.Ramlee (sebab satu apa pun tentang P.Ramlee dia tak tahu), mengapa dia tiba-tiba mahir buat batik? Mengapa dia bakar panggung yang bukan miliknya?
Cuma satu-satunya perkara yang paling menggoda adalah kewujudan karakter Yasmin, yang juga merupakan pengarah teater, lakonan Mimi Lana.
Bagi saya, Mencari Ramlee hanya betul-betul bermula ketika Yasmin dan Zaiton bersemuka. Bagaimana dua wanita yang sangat mencintai filem larut dalam perbincangan tentang Rashomon, Akira Kurosawa hingga baju-baju Marilyn Monroe.
Yasmin dan Zaiton boleh duduk setara walau berjurang usia dan harta hanya kerana filem. Bukan kerana Ramlee. Bukan kerana Zakaria. Bayangkan, betapa indahnya jika hubungan persahabatan mereka digali, diberi banyak warna dan waktu lebih lama di layar.
Ketika Zaiton mencari Ramlee, Yasmin memberikannya sebab untuk berhenti menanti dan mencari. Namun Mencari Ramlee terlepas peluang itu.
Menerusi karakter Yasmin dan Zaiton, ada metafora besar, pengarah (mungkin) mahu kita melepaskan rasa kebergantungan kepada Ramlee atau P.Ramlee dan beralih kepada seseorang seperti Yasmin.
Kita berhentilah mencari pengganti P.Ramlee dan meraikan lebih banyak pengkarya muda seperti Yasmin – yang mungkin sedang ikat perut, makan biskut demi melihat naskhahnya dipentaskan. Megat Sharizal menutup Mencari Ramlee dengan adegan begitu mengesankan.
Lambaian terakhir kepada hari semalam dan selamat datang kepada seorang anak muda yang tidak mempunyai banyak benda, kecuali cinta dan rasa percaya kepada filem dan seluruh isinya.