JASIN: Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) merekodkan 141 tangkapan melibatkan pelbagai kesalahan syariah sepanjang operasi penguatkuasaan sempena Ramadan tahun ini, dengan 72 kes daripadanya telah diproses untuk tindakan mahkamah.
Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Datuk Md. Azhan Samat berkata, daripada jumlah kes yang dibawa ke mahkamah itu, 57 kes melibatkan kesalahan tidak berpuasa pada bulan Ramadan.
Menurutnya, beberapa kes lain yang direkodkan termasuk dua kes khalwat, manakala selebihnya membabitkan kesalahan syariah lain, namun bilangannya adalah kecil.
“Walaupun kita kini berada di penghujung Ramadan, kita masih mengesan individu yang tidak berpuasa. Kita berharap masyarakat Islam dapat menghormati bulan yang mulia ini dengan menunaikan kewajipan berpuasa.
“JAIM akan terus melaksanakan operasi penguatkuasaan bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang syariah di negeri itu dipatuhi oleh umat Islam,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Masjid Al-Hakeem, Tehel sempena Sambutan Ihya Ramadan peringkat negeri Melaka, di sini hari ini.
Majlis perasmian telah disempurnakan Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam dan turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama, Datuk Rahmad Mariman. – UTUSAN








