Bekas guru besar dinobatkan sebagai Tokoh Guru Jabatan Agama Islam Melaka

Bekas guru besar dinobatkan sebagai Tokoh Guru Jabatan Agama Islam Melaka

Syamsiah Zakaria menerima Anugerah Tokoh Guru JAIM daripada Ab. Rauf Yusoh pada Majlis Sambutan Hari Guru dan Anugerah Kecemerlangan Akademik Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), di Banda Hilir semalam. -UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Bermula dengan gaji hanya RM150 sebulan ketika memulakan kerjaya sebagai guru agama pada 1985, bekas Guru Besar Sekolah Rendah Agama (SRA) Paya Rumput, Syamsiah Zakaria, 61, membuktikan keikhlasan dan dedikasi dalam mendidik anak bangsa akhirnya membuahkan hasil apabila dinobatkan sebagai Tokoh Guru Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM).

Syamsiah menamatkan perkhidmatan sebagai penjawat awam pada Disember tahun lalu berkata, anugerah tersebut bukan sekadar penghargaan terhadap dirinya, malah menjadi lambang pengiktirafan kepada seluruh warga pendidik JAIM yang telah berbakti dengan penuh komitmen selama ini.

Katanya, perjalanan sebagai guru agama bukan sesuatu yang mudah kerana ketika mula berkhidmat, imbuhan diterima jauh lebih rendah berbanding sekarang selain profesion itu kurang mendapat perhatian masyarakat.

“Saya bermula dengan gaji RM150 sebulan. Ketika itu ramai menganggap guru agama berada dalam kelompok kelas kedua.

“Walaupun menerima tawaran pekerjaan lain, saya tetap memilih menjadi guru kerana mengenangkan hasrat arwah ayah yang mahu saya meneruskan profesion perguruan,” katanya ketika ditemui selepas majlis tersebut.

Pengiktirafan disampaikan Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh pada Majlis Sambutan Hari Guru dan Anugerah Kecemerlangan Akademik JAIM di Banda Hilir di sini semalam.

Syamsiah berkata, arwah bapanya yang juga seorang guru sentiasa mendorongnya kekal berkhidmat sebagai pendidik, sekaligus menjadi sumber kekuatan untuk terus bertahan hampir 40 tahun dalam dunia pendidikan.

“Alhamdulillah, berkat doa dan dorongan arwah ayah, saya tidak pernah menyesal memilih jalan ini walaupun berdepan pelbagai cabaran sepanjang kerjaya,” katanya yang melahirkan rasa syukur apabila kebajikan guru-guru JAIM semakin mendapat perhatian kerajaan negeri menerusi penambahbaikan skim perkhidmatan dan imbuhan yang lebih baik.

Perubahan itu membuktikan kesungguhan kerajaan negeri dalam memartabatkan profesion perguruan agama selain memastikan kebajikan warga pendidik terus terbela.

“Saya terharu apabila mendengar komitmen kerajaan negeri untuk terus meningkatkan taraf guru-guru JAIM. Dahulu kami berjuang supaya kebajikan mereka diberi perhatian dan hari ini usaha itu mula membuahkan hasil.

“Saya percaya guru-guru JAIM di Melaka sangat bertuah kerana kerajaan negeri sentiasa mengambil berat kebajikan mereka. Saya berharap usaha ini diteruskan supaya profesion ini terus dihormati dan menjadi pilihan generasi muda,” katanya.

Bekas Pengerusi Persatuan Guru Negeri Melaka itu berkata, sepanjang perkhidmatannya beliau sentiasa mengingatkan guru supaya menjalankan amanah mendidik dengan penuh keikhlasan kerana tugas seorang pendidik bukan sekadar menyampaikan ilmu, tetapi membentuk akhlak dan sahsiah generasi pewaris negara.

Baginya, kejayaan seorang guru tidak seharusnya diukur melalui gaji atau pangkat semata-mata, sebaliknya berdasarkan keberkatan ilmu yang dicurahkan kepada anak didik.

“Mungkin suatu hari nanti murid sudah lupa apa yang kita ajar di dalam kelas, tetapi mereka akan sentiasa mengingati sikap, akhlak dan teladan guru mereka. Sebab itu didiklah mereka dengan kasih sayang dan penuh keikhlasan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN