MELAKA: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 2 Melaka menahan 26 warga Indonesia dalam dua serbuan berasingan di kawasan pesisir dan perairan berhampiran Pulau Upeh, Klebang, awal pagi semalam kerana disyaki terlibat dalam aktiviti penyeludupan migran keluar dari negara ini.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, dalam serbuan pertama dilakukan kira-kira 2.30 pagi di kawasan persisiran pantai Teluk Pulau Upeh hasil maklumat risikan.
Menurutnya, dalam operasi itu polis menahan 18 warga Indonesia terdiri daripada 16 lelaki dan dua wanita, termasuk tiga individu yang dipercayai bertindak sebagai tekong darat yang menguruskan penghantaran migran ke kawasan pantai sebelum dibawa keluar dari negara ini melalui laluan laut.
“Dalam serbuan itu, polis turut merampas 26 telefon bimbit pelbagai jenis, wang tunai 36,976,300 rupiah Indonesia serta RM14,465 dengan jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan RM48,151.85,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, kira-kira 30 minit kemudian, pasukan Bot Ronda PPM menjalankan serbuan kedua pada 3.00 pagi selepas mengesan sebuah bot fiber dalam keadaan mencurigakan kira-kira satu batu nautika utara Pulau Upeh.
“Hasil pemeriksaan ke atas bot itu membawa kepada penahanan lapan lagi warga Indonesia termasuk dua tekong bot terdiri daripada tiga lelaki dan lima wanita yang dipercayai cuba membawa migran masuk dari Malaysia secara haram,” katanya.
Dzulkhairi berkata, dalam operasi kedua itu polis merampas sebuah bot fiber berukuran 33 kaki, dua enjin sangkut Yamaha 40HP dan 60HP, tujuh telefon bimbit serta tujuh tong minyak jenis jerry can dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM78,850.
Beliau berkata siasatan awal mendapati migran yang terlibat dikenakan bayaran antara RM1,500 hingga RM3,000 seorang oleh sindiket untuk membawa mereka keluar dari Malaysia melalui laluan laut ke Dumai, Indonesia.
Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63. – UTUSAN











