PETALING JAYA: Kumpulan individu yang dibebaskan daripada senarai muflis menjelang hujung tahun ini perlu mengubah gaya hidup mereka yang mungkin terlalu mewah berbanding pendapatan mereka.
Pakar Ekonomi dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (MUST), Prof. Emeritus Dr. Barjoyai Bardai berkata, golongan tersebut berisiko untuk menghadapi kebankrapan sekali lagi.
Ini kerana, katanya, dalam tempoh mereka ‘disenarai hitam’, kumpulan berkenaan tidak dapat melakukan sebarang perbelanjaan bagi memenuhi kehendak, tidak mempunyai akses terhadap akaun bank mereka dan sebagainya.
“Dalam proses tersebut, mereka disekat daripada melakukan pelbagai perkara. Jadi dalam jangka pendek iaitu selepas mereka keluar daripada senarai bankrap mungkin mereka tidak menjadi lebih baik.
“Oleh itu, mereka sepatutnya bermula daripada sekarang untuk mengatur semula atau memperbaiki cara mereka berbelanja atau menguruskan kewangan supaya tidak terjerumus sekali lagi,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Semalam akhbar ini melaporkan, kerajaan menyasarkan untuk mengeluarkan 200,000 individu daripada senarai bankrap menjelang hujung tahun ini sebagai sebahagian pelaksanaan Dasar Peluang Kedua yang diumumkan menerusi Belanjawan 2024.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, sehingga kini, seramai 186,000 individu sudah berjaya dilepaskan daripada status bankrap dengan maklumat rasmi diperoleh daripada Jabatan Insolvensi.
Barjoyai berkata, kerajaan turut boleh berperanan sebagai pendidik sebelum mengeluarkan individu-individu berkenaan daripada senarai bankrap.
“Sebelum seseorang itu diisytiharkan bebas daripada kebankrapan, mereka perlu mengikuti sesuatu program secara dalam talian atau bersemuka anjuran kerajaan,” katanya. –UTUSAN











