PETALING JAYA: Kerajaan perlu menubuhkan suruhanjaya atau platform bagi menangani isu berkaitan perkhidmatan hospital swasta dan insurans perubatan di negara ini.
Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin berkata, suruhanjaya itu berperanan menerima dan menyelesaikan aduan pengguna khusus dalam kedua-dua perkhidmatan berkenaan yang kini masih menerima rungutan dalam kalangan pengguna.
“Suruhanjaya ini perlu diletakkan di bawah Parlimen. Isunya sekarang tiada badan khas yang memantau dan mengawal selia perkhidmatan hospital swasta dan juga insurans kesihatan.
“Jika ada pun, Bank Negara Malaysia (BNM) atau mungkin Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM). Tapi itu pun tidak secara komprehensif.
“Oleh itu penubuhan suruhanjaya ini menjadi satu keperluan untuk menyelesaikan aduan kedua-dua perkhidmatan berkenaan,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.
Akhbar ini pernah melaporkan polisi insurans perubatan semakin membebankan apabila ia dijangka naik antara 40 hingga 70 peratus tahun ini.
Susulan daripada itu Bank Negara mengambil langkah proaktif dengan memperkenalkan langkah interim bagi membantu pemegang polisi insurans/takaful (ITO) perubatan dan kesihatan (MHIT) menghadapi kesan pelarasan premium.
Bagaimanapun, rungutan terhadap kedua-dua perkhidmatan masih berlaku terutama berkaitan tuntutan dan tempoh masa yang boleh dipertikai.
Tze Tzin yang Ahli Parlimen Bayan Baru berkata, penubuhan suruhanjaya tersebut merupakan satu keperluan masa kini untuk menyelesaikan setiap aduan tanpa sebarang kompromi.
Katanya, melalui platform itu para pengguna dapat menyalurkan aduan masing-masing seperti mana peranan entiti lain seperti Suruhanjaya Penerbangan Malaysia berkenaan isu tambang penerbangan dan Suruhanjaya Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan membabitkan salah laku penguat kuasa.
“Penubuhan suruhanjaya itu penting bagi membantu menyelesaikan isu berkaitan insurans kesihatan,” katanya.-UTUSAN










