PETALING JAYA: Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) tidak sesekali berkompromi atau melindungi mana-mana kakitangan yang terlibat semua isu salah laku dan pelanggaran integriti.
Ketua Pengarahnya, Datuk Ruslin Jusoh berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana kakitangan jika didapati bersalah berdasarkan peruntukan perundangan sedia ada.
“AADK menarik perhatian mengenai laporan siasatan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) mengenai aduan AADK Negeri Sembilan melepaskan penagih yang didapati positif dadah semasa operasi serbuan.
“Sehubungan itu, AADK sentiasa mengingatkan kepada semua kakitangan untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan penuh berintegriti dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) serta garis panduan berdasarkan Sistem Pengurusan Antirasuah (ABMS),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, AADK akan terus bekerjasama erat dengan EAIC dalam usaha peningkatan tadbir urus yang baik dalam agensi.
“Ini khususnya yang melibatkan siasatan terhadap sebarang aduan salah laku dan integriti dalam kalangan kakitangan,” katanya.
Terdahulu, EAIC dalam kenyataan mengesahkan akan merujuk kepada Pendakwa Raya berhubung tindakan pegawai AADK melepaskan beberapa individu positif dadah dalam serbuan di Kampung Felda LBJ, Labu, Negeri Sembilan pada 8 Mac 2023.
EAIC berkata, pihaknya juga akan merujuk dapatan berkaitan kesalahan tatatertib oleh pegawai AADK terbabit kepada Pihak Berkuasa Tatatertib dengan syor hukuman tatatertib menurut subperenggan 30(1)(b) Akta 700.
Menurutnya, ia susulan EAIC menerima aduan terhadap AADK Negeri Sembilan berhubung dakwaan berkaitan tindakan melepaskan beberapa individu yang didapati positif dadah dalam serbuan itu.
“Siasatan ini dijalankan berdasarkan kepada aduan yang diterima mengikut subseksyen 27(4) Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 [Akta 700].
“Siasatan mendapati terdapat keterangan yang menunjukkan beberapa individu yang didapati positif dadah semasa serbuan dilepaskan, yang mana perbuatan itu adalah satu kesalahan mengikut Seksyen 221 Kanun Keseksaan,” katanya. – UTUSAN










