KUALA LUMPUR: Sebanyak 343 saman dikeluarkan Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur dalam Op Samseng Jalanan di sekitar ibu negara semalam hingga pagi tadi.
Operasi bersepadu membabitkan pegawai dan anggota JSPT Kuala Lumpur, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Konsesi Lebuhraya DUKE dan Jabatan Pencegahan Jenayah Keselamatan Komuniti (JPJKK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul dan JPJKK IPD Wangsa Maju itu bermula 9 malam tadi hingga 5 pagi, hari ini.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Zamzuri Mohd. Isa berkata, operasi bersepadu kali ini membabitkan fasa pertama iaitu Sekatan Jalan Raya (SJR) di Jalan Ipoh hala Chow Kit, Jalan Ipoh hala Sentul serta Jalan Tuanku Abdul Rahman, manakala fasa kedua di sekitar Sentul termasuk Lebuhraya Duta- Ulu Kelang (DUKE).
Katanya, pemeriksaan melibatkan 400 hingga 450 buah motosikal dan daripada jumlah itu, sebanyak 83 buah motosikal disita atas pelbagai kesalahan selain enam tangkapan dibuat di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 serta AADK menahan seorang individu didapati positif methamphetamine mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Sebanyak 343 saman dikeluarkan termasuk kesalahan tiada lesen memandu dan kesalahan lalu lintas lain.
“Selain itu, sebanyak 40 tangkapan dilakukan atas kesalahan sama mengikut Seksyen 42 APJ 1987 susulan operasi penguatkuasaan dilakukan pihak kami sejak 1 Januari lalu,” katanya dalam sidang akhbar di Lebuhraya DUKE di sini awal pagi tadi.
Mohd. Zamzuri berkata, pemeriksaan lanjut mendapati motosikal yang ditahan diubah suai membabitkan penggunaan tayar sotong, sistem brek tidak berfungsi serta ekzos diubah suai seperti ekzos buluh yang menghasilkan bunyi bising.
Katanya, siasatan mendapati remaja berusia antara 16 hingga 19 tahun dipercayai terbabit kegiatan lumba haram di Lebuhraya DUKE yang menjadi ‘litar’ penunggang motosikal pada hujung minggu.
“Mereka dipercayai datang dari sekitar Lembah Klang termasuk Setapak, Gombak, Sentul, Kajang, Cheras serta kawasan sekitar Kuala Lumpur.
“Kegiatan itu dikenal pasti aktif sejak tahun lalu terutama pada Jumaat, Sabtu dan Ahad dengan laluan lurus lebuh raya terbabit menjadi lokasi untuk menguji keupayaan motosikal dengan jarak perlumbaan dianggarkan 1.8 kilometer.
“Ia bermula dari kawasan operasi sehingga ke susur keluar Lebuhraya DUKE dan kami turut mempunyai rakaman bagi kes di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.
Beliau menegaskan penguatkuasaan berterusan akan dilakukan bagi membanteras aktiviti itu.
“Semua pihak diingatkan supaya mematuhi undang-undang serta ibu bapa juga dinasihatkan untuk memastikan anak masing-masing mematuhi peraturan jalan raya,” katanya.– UTUSAN










