KAJANG: Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) memberi tumpuan untuk meningkatkan kemasukan penagih secara sukarela ke pusat-pusat pemulihan, bagi menangani isu penagihan dan penyalahgunaan dadah dengan lebih berkesan pada tahun ini.
Usaha itu dibuat melalui Perkhidmatan Mobilisasi Rawatan Perubatan Pemulihan Tanpa Sempadan (MRT).
Ketua Pengarah AADK, Datuk Ruslin Jusoh berkata, ia selaras dengan pindaan Akta Penagih dan Penyalah Guna Dadah dan Bahan (Rawatan dan Pemulihan) 1983 (Akta 283) yang membolehkan rawatan dan pemulihan diakses terus tanpa pengesahan awal pegawai perubatan.
“Kami ingin promosikan rawatan secara sukarela, iaitu mereka (klien) datang terus kepada AADK untuk mendapatkan khidmat nasihat dan rawatan tanpa perlu melalui proses mahkamah,” katanya pada majlis penyampaian amanat 2026 dan Perhimpunan Bulanan AADK di sini, hari ini.
Ruslin berkata, pihaknya memperkenalkan MRT iaitu penggunaan bas khas dilengkapi bilik konsultasi untuk klien hadir di lokasi yang ditetapkan di seluruh negara.
“Menerusi MRT, klien akan lebih selesa apabila menerima rawatan daripada pegawai dan mudah untuk membuat penilaian tahap keterlibatan dadah dan menawarkan pakej rawatan antara tiga bulan hingga dua tahun bergantung kepada tahap keseriusan,” katanya.
Beliau berkata, AADK juga akan memperkukuh kempen kesedaran melalui media sosial bagi menggalakkan lebih banyak individu yang mengalami masalah penyalahgunaan dadah mendapatkan rawatan.
“Kami mahu masyarakat faham dadah adalah isu kesihatan dan individu terlibat perlu dibantu, bukan dipinggirkan,” katanya.
Menurut statistik AADK, penyalahgunaan dan penagihan dadah sehingga September tahun lalu menurun sebanyak 7.9 peratus kepada 156,316 orang.
Kebanyakan kes membabitkan pengambilan dadah jenis sintetik iaitu Amphetamine Type Stimulants (ATS), Opiat dan Pil psikotropik.
Terdahulu, dalam ucapannya, Ruslin memberi penekanan terhadap agenda Dadah Terkawal 2030 yang juga sasaran strategik nasional bagi memastikan isu penyalahgunaan dan penagihan dadah berada pada tahap terkawal menjelang 2030.
“Selama tempoh lima tahun pelaksanaan, kadar penagihan disasarkan tidak melebihi 700 orang bagi setiap 100,000 penduduk, selaras dengan usaha berterusan kerajaan untuk melindungi kesejahteraan masyarakat dan keselamatan negara,” katanya. – UTUSAN










