Dakwa hanya hisap vape tapi positif ganja

Dakwa hanya hisap vape tapi positif ganja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang pemuda berusia 24 tahun mendakwa terkejut apabila keputusan ujian air kencing yang dilakukan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) menunjukkan kehadiran dadah jenis ganja.

Ia sebahagian ragam pengguna jalan raya yang diperiksa pihak berkuasa ketika Op Ambang Tahun Baharu 2026 di 240 lokasi seluruh negara termasuk 25 di sekitar ibu negara, malam tadi.

Dia mendakwa tidak pernah mengambil bahan terlarang berkenaan.

Menurutnya, sebelum ditahan dia hanya menghisap rokok elektronik yang dibeli dengan harga sekitar RM19 hingga RM23.

“Saya tak pernah hisap ganja, rokok pun tidak. Dua bulan lepas pernah buat ujian air kencing, tak sangkut apa-apa (dadah).

“Tapi kali ini dengan tiga kali ujian saringan air kencing, mereka (AADK) mendapati saya positif dadah jenis ganja,” katanya.

Dalam operasi sama, seorang lagi lelaki tempatan berusia 32 tahun turut ditahan selepas didapati positif syabu.

Suspek yang memandu kereta Toyota Unser itu membawa isteri, abang ipar dan adiknya mengaku mengambil syabu kira-kira tiga hari lalu kerana terpengaruh dengan rakan.

Dalam pada itu, Timbalan Pengarah (Penguatkuasaan/Kawalan Lalu Lintas/Pengurusan Saman) Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Deputi Komisioner Mohd. Rozi Jidin berkata, operasi dijalankan bagi memastikan tahap keselamatan jalan raya sentiasa terjamin, selain memfokuskan aktiviti lumba haram pada waktu tengah malam.

“Kita juga akan mengesan pemandu yang menggunakan alkohol dan dadah.

“Polis ingin mendisiplinkan pengguna jalan raya agar mematuhi peraturan lalu lintas dan diingatkan agar semua menggunakan jalan raya dengan penuh berhemah,” katanya ketika melakukan tinjauan di Plaza Tol Jalan Duta di sini, malam tadi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN