Ternakan pupus dibom, tiada ibadah korban di Gaza

Ternakan pupus dibom, tiada ibadah korban di Gaza

Seorang wanita meratapi kematian saudaranya yang menjadi mangsa pengeboman tentera Zionis berdekatan Hospital al-Shifa, Gaza.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ketika umat Islam di Malaysia membuat persiapan menyambut Hari Raya Aidiladha, penduduk di Gaza pula terus berjuang untuk hidup di tengah kepungan tentera Zio­nis dan krisis kemanusiaan yang semakin meruncing.

Sambutan hari raya tahun ini hanyalah lembaran baharu dalam catatan luka yang tidak berkesudahan. Rakyat Gaza menyambutnya dalam kehancuran di mana mereka tidak ada makanan, tiada tempat tinggal bahkan tanpa jaminan ke­selamatan.

Eksekutif Strategik Perhubungan Awam Cinta Gaza Malaysia (CGM), Haikal Zulkefli berkata, situasi di Gaza sangat kritikal dengan serangan berte­rusan rejim Zionis dan sekatan menyeluruh ke atas makanan serta bantuan kemanusiaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Serangan masih berlaku setiap hari hingga menyukarkan proses kemasukan bantuan makanan dari luar. Bantuan yang datang dari Amerika Syarikat pula hanyalah umpan maut semata,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Katanya, hampir keseluruhan haiwan ternakan di Gaza dimusnahkan menyebabkan umat Islam di sana tidak dapat me­laksanakan ibadah korban pada Aidiladha kali ini.

“Mereka memang tidak me­lakukan sebarang persiapan raya kerana situasi yang semakin meruncing. Daging korban juga tiada, yang ada hanyalah sisa roti keras dan serpihan bangunan sebagai saksi hari raya,” katanya.

Menurut Haikal, walaupun Hamas sudah menunjukkan kesediaan untuk memulakan rundingan gencatan senjata, rejim Zionis tetap menolak.

Sementara itu, Nurul Ain Haron yang mempunyai keluarga mentua di sana berkata, suasana menjelang perayaan hanya menambah kesayuan.

Menurutnya, adik ipar dan birasnya terpaksa berjalan kaki lebih 10 kilometer dari Khan Younis ke Rafah untuk mendapatkan sekotak bantuan makanan.

“Mereka dari mana-mana kawasan pun terpaksa menapak jauh demi mendapatkan secebis makanan untuk dijadikan alas perut. Harga seekor kam­bing di sana untuk korban pula mencecah lebih RM5000, jika ada yang masih hidup,” katanya.

Nurul Ain turut berkongsi mesej dari birasnya di Gaza, Naser Ahmad, yang menyaksikan sendiri tragedi berdarah di tapak pengagihan bantuan.

“Saya pergi ke situ pada pukul 2 pagi, pulang semula pada pukul 10 pagi tetapi tidak memperoleh sebarang maka­nan. Tetapi apa yang saya lihat depan mata adalah seramai 50 orang mati syahid dan 300 orang cedera,” katanya.

Lebih memilukan, anak saudaranya turut terkorban. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini