Termakan janji manis, diri jadi ‘kambing hitam’ - Kmy Kmo - Utusan Malaysia

Termakan janji manis, diri jadi ‘kambing hitam’ – Kmy Kmo

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Terpalit dengan kes rampasan 100 bungkusan ganja dengan berat keseluruhan berjumlah 86 kilogram, penahanan seorang penyanyi rap tempatan di Laos pada bulan lalu, turut memberi kesan kepada rakan artis di arena muzik rap dan hip hop tanah air.

Merupakan salah seorang anggota kumpulan hip hop popular dari Johor, penahanan penyanyi itu turut sampai kepada pengetahuan rakan terdekatnya, juga seorang penyanyi dan komposer lagu terkemuka, Kmy Kmo.

Mengakui terkejut dengan laporan berita tersebut, Kmy atau nama sebenarnya, Lukmanul Hakim, tidak menolak bahawa dia mengenali dan menganggap penyanyi muda tersebut bagai seorang adik.

Justeru, dalam satu pertemuan baru-baru ini, Pancaindera cuba mendapatkan komen daripada penyanyi lagu Gong Nekara dan Zuhud ini mengenai isu membabitkan penyanyi rap yang ditahan itu.

Bulan lepas, penyanyi rap N dilaporkan ditahan di Laos bersama dua rakyat Malaysia lain setelah dikesan cuba menyeludup dadah jenis ganja seberat 86 kilogram. Apakah Kmy tahu mengenai perkara ini?
Saya tahu tentang perkara ini daripada artikel. Bila tengok gambar dan wajahnya yang ditutup, saya pun pada mulanya macam tidak percaya, terkejut sangat. Jadi, saya tanya orang yang lebih rapat untuk pastikan kebenaran. Bila sudah sah, saya tiada kata-kata lain kecuali hanya mendoakan yang baik-baik sajalah. Ada perkara yang bukan dalam bidang kuasa kita. Kita cuma manusia biasa.

Pancaindera difahamkan, Kmy umpama ‘abang’ jugalah kepada artis terbabit. Terkilan tak apabila dapat tahu dia terpalit dengan kes ini apatah lagi dia turut berkemungkinan berhadapan dengan hukuman penjara seumur hidup atau hukuman mati?
Sebagai seorang abang, saya anggap semua ini sebagai satu fasa pembelajaran dan perjalanan hidup. Apa saja yang kita pilih, itulah yang akan kita rasa. Sama ada rasa itu seperti yang kita bayangkan atau sebaliknya, kita tetap perlu terima. Kalau ada keajaiban berlaku, mungkin dia akan diberi peluang untuk kembali. Mungkin ketika itu, itulah titik mula dia meninggalkan masa silam dan memulakan kehidupan yang lebih tersusun.

Saya tidak kata kehidupan dia tidak tersusun. Tapi kita semua pernah muda. Saya pun pernah muda, pernah buat silap. Kita semua pernah. Tak akan pernah ada manusia yang tidak buat silap. Dan daripada kesilapan itu, kita belajar.Bagi saya, kita hanya mampu doakan yang baik-baik.

Bagaimana Kmy mengenali N ini?
Saya sudah lama kenal N. Dari zaman dia dan rakan-rakannya belum ada nama kumpulan. Mereka memang kawan baik, satu kepala, dan saya pun memang sokong dari dulu lagi. Sama macam saya sokong MK, Tuju dan anggota K-Clique.

Sampai sekarang pun, bila mereka tanya apa-apa, saya masih sokong. Alhamdulillah, bila kita baik dengan orang, orang ingat budi kita sampai bila-bila.

Agaknya mengapa jalan dan risiko besar ini sanggup diambil oleh N sehingga dia berani memperjudikan nyawa?
Kita tidak tahu apa yang dia tengah hadapi. Tak nampak jalan yang dia pilih. Sebab dia bukan jenis yang berkongsi pun. Saya juga tahu dia ada anak.

Jadi, bila dengar berita macam ini, sudah tentu saya bimbang. Takut benda ini berulang, takut jadi perkara lebih teruk. Saya pun tak suka ambil tahu hal negatif, tentang keluarga orang, tapi kita ambil berat.

Tersalah membuat pilihan dalam hidup mungkin normal, tetapi untuk menanggung risiko sebesar ini, bagai satu kerja gila. Ada kemungkinan N itu terlalu terdesak atau apa sebenarnya?
Kadang-kadang, bila jadi artis yang buat muzik terlalu ‘berani’, dia akan tarik perhatian taikun-taikun besar yang ambil kesempatan.

Saya percaya, mereka perdaya individu macam N dengan janji manis. Kononnya cuma satu job ini saja, dibayar lumayan dan jika ada masalah mereka akan tolong. Tetapi kita tahu, mereka tak akan bantu pun. Manakala diri sudah jadi kambing hitam.

Budak-budak sekarang darah muda. Tayang benda terlarang dalam muzik video itu cool, letak unsur-unsur begitu dalam karya, itu dikatakan cool. Tetapi hakikatnya tidak.

Sebab itu, saya nasihatkan rapper-rapper baru, kena hati-hati bila berkarya. Memang seni tiada sempadan, tetapi negara kita, ada undang-undang. Karya kita kena sesuai untuk tontonan umum.

Sebelum ini kiranya pernahlah Kmy atau rakan-rakan senior dunia muzik beri nasihat kepada artis muda seperti ini?
Ada sahaja. Tetapi budak-budak sekarang, Gen Z ini dalam dunia mereka sendiri. Bila kita nasihat, mereka rasa kita ini tak faham mereka.

Sebab itu, saya dan Luca Sickta buat hal sendiri. Bila orang ajak turun gig atau kelab, kami sudah tidak turun. Otak dah padat. Sudah ada anak isteri. Tak boleh dah. Sekarang, siapa yang datang dengan niat baik, kami bantu. Tapi kalau dari segi pembawakan diri, itu kena betulkan sendiri. Kita jangan ikut budaya Barat yang negatif. Kita ikut yang sesuai dengan masyarakat kita.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN