Alyssa intai slot Kejohanan Dunia

Alyssa intai slot Kejohanan Dunia

TRIO pecut wanita negara (DARI kiri), Anis Amira Rosidi, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri dan Nurul Alyssa Farid: UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelumba muda berbasikal trek negara, Nur Alyssa Mohd Farid mengintai peluang untuk membuat penampilan sulung di Kejohanan Berbasikal Trek Dunia di Shanghai pada Oktober ini.

Aksi konsisten yang dipamerkan sejak kebelakangan ini menyaksikan Alyssa kini berada di landasan tepat untuk mengumpul mata kelayakan, sekali gus membuka ruang mencipta detik penting dalam kariernya.

Pendedahan berdepan pelumba bertaraf dunia dalam Piala Dunia Trek di Veledrom Nasional Nilai minggu lalu nyata memberi dimensi baharu terhadap keyakinannya di pentas elit.

“Itu memang salah satu sasaran saya, saya mahu kumpul mata secukupnya untuk layak ke Kejohanan Dunia. Saya belum pernah beraksi dalam Kejohanan Dunia sebelum ini dan ini akan menjadi kali pertama saya,” kata Alyssa.

Momentum positif itu diperkukuh lagi apabila Alyssa memainkan peranan penting membantu Malaysia meraih perak acara pecut berpasukan elit wanita di Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) di Tagaytay, Filipina bersama Nurul Izzah Izzati Mohd Asri dan Anis Amira Rosidi.

Lebih menarik, dia turut mencuri tumpuan apabila menewaskan Izzah dalam final keirin Piala Presiden di Nilai, sekali gus membuktikan kemunculannya sebagai pencabar dalam kem negara.

Lonjakan prestasi itu turut diterjemahkan menerusi kedudukan ranking apabila Alyssa kini menghuni tangga ke-17 dunia dengan 2,484 mata dalam senarai Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) setakat ini.

“Saya belajar bagaimana mereka berlumba, bagaimana mereka kawal perlumbaan dan bagaimana mereka urus kedudukan,” katanya.

Selepas ini, Alyssa akan mengambil rehat seketika sebelum kembali mengasah persiapan menghadapi Kejohanan Kebangsaan di Nilai, Sukan Komanwel Glasgow 2026 serta Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, dengan misi lebih besar menantinya di kejohanan dunia.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN