Terengganu syor pemilik ternakan pasang Kod QR

Terengganu syor pemilik ternakan pasang Kod QR

AZMAN Ibrahim (tengah) melepaskan benih anak ikan pada Program Pelepasan Benih Ikan, Penyerahan Bantuan Peralatan dan Insentif Input Akuakultur serta Pelancaran Kajian Penandaan Peralatan Menangkap Ikan Nelayan Darat di Kampung Temir, Kuala Berang, Terengganu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU TERENGGANU: Kerajaan Negeri Terengganu akan menggubal enakmen baharu yang mewajibkan pemilik haiwan ternakan mendaftar serta memasang Kod Respons Pantas (QR) pada haiwan sebagai usaha mengatasi isu ternakan berkeliaran di negeri ini.

Pengerusi Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Datuk Dr. Azman Ibrahim berkata, Enakmen Kawalan Ternakan Ruminan itu meliputi ternakan jenis kerbau, lembu dan kambing.

“Kita sedang kaji daripada segenap aspek bagi membolehkan pelaksanaan enakmen ini, ia perlu digubal terlebih dahulu di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) sebelum melalui proses pelaksanaan. 

“Cadangan ini juga masih di peringkat awal dan dikemukakan secara rasmi selepas melalui semua perbincangan dan saluran undang-undang yang sewajarnya. Di bawah enakmen yang dicadangkan, dengan pendaftaran dan tag (kod QR) yang sah, kita tahu siapa pemilik haiwan terbabit. Haiwan ternakan tidak berdaftar atau tidak memiliki tag kod QR boleh disita atau dilelong pihak berkuasa.

“Undang-undang kecil pihak berkuasa tempatan sedia ada hanya benarkan penangkapan haiwan berkeliaran, namun kuasa lebih besar perlu diwujudkan untuk kawal selia sektor penternakan secara menyeluruh,” katanya selepas  Program Pelepasan Benih Ikan, Penyerahan Bantuan Peralatan dan Insentif Input Akuakultur serta Pelancaran Kajian Penandaan Peralatan Tangkapan Nelayan Darat di Sungai Terengganu di Kampung Temir di sini, hari ini.

Pada program tersebut, sebanyak 33,000 benih ikan terdiri daripada udang galah, lampam sungai, baung sungai bernilai RM9,500 dilepaskan di Sungai Terengganu dan hadir sama, Pengarah Perikanan Negeri Terengganu, Pang Nyukang.

Azman berkata, pemasangan kod QR terhadap haiwan ternakan dikuat kuasa di Melaka dan ia terbukti berkesan sebagai usaha mengawal pergerakan haiwan berkeliaran. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN