KUALA LUMPUR: Majlis Ibadah Korban Perdana Peringkat Tentera Darat kali ini menampilkan kelainan apabila ia dibuat pada hari terakhir tasyrik berbanding tahun sebelumnya yang lazimnya dibuat pada hari pertama Aidiladha.
Menurut Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim, sebanyak 27 ekor lembu telah dikorbankan pada sambutan kali ini.
Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak 11 ekor hasil penyertaan ibadah korban oleh tentera darat dan selebihnya iaitu sebanyak 16 ekor adalah sumbangan daripada pelbagai pihak.
“Jumlah tersebut menghasikan anggaran 2,420 kilogram (kg) daging korban; 1,903 kg daging
diagihkan kepada warga Tentera Darat Malaysia (TDM), rumah anak yatim, pusat tahfiz, agensi luar dan selebihnya diberikan kepada petugas yang terlibat,” katanya ditemui pemberita di Majlis Ibadah Korban Perdana Tentera Darat di Padang Kawad, Kem Sungai Besi di sini, hari ini.
Majlis ibadah korban itu kali ketujuh dianjurkan oleh Tentera Darat. Tahun ini menyaksikan peningkatan jumlah haiwan korban, iaitu sebanyak 27 ekor berbanding 20 ekor pada tahun lalu.
Tengku Muhammad Fauzi berkata, proses penyembelihan, melapah, pembungkusan dan pengagihan daging korban diuruskan secara bergotong-royong oleh seramai 425 petugas.
“Kita sebagai tentera bukan sahaja berkorban dari segi keringat tetapi korban nyawa dan usaha memastikan syiar Islam dapat kita semaikan dalam setiap tentera darat yang beragama Islam,” katanya.
Antara penerima daging korban itu Rumah Anak Yatim Darul Takwa, Sungai Besi, Rumah Anak Yatim Darul Najah, Keramat, Baitul Ulfah Centre, Seri Kembangan, Rumah Anak Yatim dan Asnaf Darul Fikri Rahoma.
Daging korban turut diagihkan kepada Tahfiz Darul Al-Islah, Keramat, PPR Lembah Ampang, Sekolah Tahfiz dan Asrama Anak Yatim Angkatan Tentera Malaysia (STAY ATM) dan Old Putra Association (OPA). – UTUSAN