PARLIMEN: Malaysia menuju status Negara AI menjelang 2030

PARLIMEN: Malaysia menuju status Negara AI menjelang 2030

GOBIND SINGH DEO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan komited menjadikan Malaysia sebagai negara kecerdasan buatan (AI) dan hab serantau menjelang 2030.

Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, komitmen itu diteruskan melalui pelan menyeluruh di bawah pelbagai dasar dan rancangan utama negara termasuk Pelan Tindakan AI Kebangsaan 2030 dan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Katanya, pelan itu menyasarkan peningkatan sumbangan ekonomi digital kepada 30 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) serta menjana 500,000 pekerjaan berkemahiran tinggi menjelang 2030.

“Pelan Tindakan AI Kebangsaan 2030 mengetengahkan kepentingan memperkukuh ekosistem data sedia AI dan menyediakan kapasiti high performance computing mampu milik yang boleh diakses pelbagai pihak.

“Malaysia juga telah menerima pelaburan berjumlah RM144.4 bilion bagi membina 143 projek pusat data,” katanya menjawab soalan Dr. Kelvin Yii Lee Wuen (PH-Bandar Kuching) mengenai rancangan Malaysia merealisasikan aspirasi sebagai Negara AI menjelang 2030.

Menurut Gobind, pelaksanaan Dasar Pengkomputeran Awan Negara (NCCP) turut memperkukuh ekosistem awan serta mempercepatkan adaptasi penggunaan AI dalam sektor awam dan swasta.

“Untuk mengukuhkan produk Made by Malaysia AI, matlamat strategik utama adalah membangunkan Model Bahasa Raya Kebangsaan (NLLM) berasaskan Bahasa Malaysia.

“Bagi menjayakan aspirasi Malaysia sebagai Negara AI, kerajaan juga sedang membangunkan polisi pendigitalan data sektor awam bagi memastikan set data berkualiti tinggi yang boleh digunakan oleh aplikasi AI,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN