Pakistan didakwa tembak mati 30 penunjuk perasaan di Kashmir

Pakistan didakwa tembak mati 30 penunjuk perasaan di Kashmir

ANGGOTA tentera berkawal di luar sebuah pusat mengundi semasa fasa pertama pengundian bagi pilihan raya badan perundangan tempatan di Mirpur, Kashmir yang ditadbir Pakistan.-AFP 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISLAMABAD: Sekurang-kurangnya 30 orang didakwa terbunuh dalam tempoh dua hari di Kashmir yang ditadbir Pakistan susulan tindakan keras pihak berkuasa terhadap penunjuk perasaan, menurut kumpulan masyarakat sivil tempatan.

Jawatankuasa Tindakan Awami Bersama (JAAC) mendakwa pasukan keselamatan Pakistan melepaskan tembakan ke arah puluhan ribu penunjuk perasaan aman, mengorbankan 25 orang pada Isnin dan lima lagi pada Selasa.

Gelombang protes dan keganasan di Kashmir yang ditadbir Pakistan bermula sejak Jun lalu. Sebagai tindak balas, kerajaan melaksanakan sekatan komunikasi yang ketat, termasuk memutuskan perkhidmatan internet yang mengasingkan wilayah itu daripada seluruh Pakistan, selain melancarkan penahanan beramai-ramai.

Amnesty International pada Selasa menggesa pihak berkuasa Pakistan menamatkan sekatan komunikasi itu.

JAAC dan penyokongnya mengadakan demonstrasi bagi menuntut pembaharuan sistem pilihan raya di wilayah yang dikawal ketat oleh pasukan keselamatan itu.

Isnin menandakan fasa pertama pilihan raya yang dipertikaikan oleh kumpulan tempatan, mendakwa sistem kerusi khas diperuntukkan kepada pelarian dari Kashmir yang ditadbir India dan kini menetap di Pakistan memberi pengaruh terlalu besar kepada pihak luar dalam pentadbiran wilayah berkenaan.

Jurucakap JAAC, SA Khan menuduh pasukan keselamatan Pakistan melepaskan tembakan ke arah penunjuk perasaan tidak bersenjata di Mirpur pada Selasa sebelum menghilangkan bukti kejadian.

“Pasukan keselamatan membawa pergi mayat mangsa dan mengunci hospital di Mirpur.

“Kami mempunyai gambar dan rakaman video yang menunjukkan mayat bergelimpangan di jalan raya dalam keadaan berlumuran darah. Pasukan keselamatan melarikan mayat untuk menghapuskan bukti,” katanya.

Seorang penduduk Mirpur yang enggan dikenali berkata, keganasan tercetus pada awal petang Selasa ketika orang ramai berhimpun bagi membantah pembunuhan yang berlaku sehari sebelumnya.

“Mayat dibawa ke hospital tetapi kemudian hilang. Semua kedai berhampiran kini ditutup selepas keganasan itu,” katanya.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN