PETALING JAYA: Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin dikatakan akan menyerahkan jawatannya kepada penggantinya apabila tiba masa yang sesuai.
Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, proses peralihan kepimpinan dalam parti itu tidak perlu dilakukan secara tergesa-gesa, sebaliknya akan dibuat dengan teratur apabila Muhyiddin sendiri merasakan masa yang tepat telah tiba.
Katanya, Bersatu kekal stabil dan berfungsi dengan baik di bawah bimbingan Muhyiddin yang masih aktif serta dihormati dalam kalangan ahli parti.
“Peralihan kepimpinan ini seperti perlumbaan berganti-ganti 4×100 meter yang memerlukan keserasian dan masa yang sesuai sebelum baton diserahkan.
“Mungkin saya pelari kedua dan beliau pelari pertama. Saya hanya menunggu. Apabila dia hampir dengan saya, dia akan serahkan baton dan saya akan meneruskannya. Asalkan sahaja belum melintasi garisan penamat,” katanya ketika temubual dalam program BFM Breakfast Grille.
Hamzah yang juga Ketua Pembangkang turut mengesahkan Muhyiddin telah menyatakan hasrat untuk menyerahkan kepimpinan parti kepadanya selepas berundur kelak.
“Presiden mahu saya mengambil alih selepas beliau berundur nanti,” katanya.
Mengulas dakwaan kononnya wujud tiga blok kuasa dalam Bersatu iaitu kem Muhyiddin, kem Datuk Seri Azmin Ali dan kemnya sendiri, Hamzah berkata, perkara itu tidak menggambarkan perpecahan dalam parti.
“Saya gembira apabila perkara itu dibangkitkan kerana ia menunjukkan Bersatu mempunyai ramai pemimpin berwibawa sehingga boleh dianggap mempunyai blok tersendiri.
“Saya telah jelaskan bahawa saya adalah penyokong nombor satu Presiden. Tidak timbul soal mempertikai kesetiaan saya kepada beliau,” katanya.
Tambah Hamzah, sebarang isu dalaman atau perbezaan pandangan dalam parti wajar diselesaikan secara musyawarah melalui mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT).
“Jika ada isu berbangkit, lebih baik ia diselesaikan dalam mesyuarat MPT nanti, bukan dijawab secara terbuka,” katanya.
Sebelum ini, Muhyiddin dilaporkan berkata, semua ahli MPT Bersatu sebulat suara bersetuju menghentikan kemelut dalaman parti demi mengukuhkan perpaduan dan kekuatan parti menjelang Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 (PRN 17).
Keputusan itu dicapai dalam mesyuarat khas yang diadakan di ibu pejabat Bersatu baru-baru ini membabitkan kehadiran hampir semua kepimpinan tertinggi parti.-UTUSAN










