KOTA BHARU: Kerajaan negeri mengumumkan pemberian Bantuan Khas Kewangan (BKK) berjumlah RM500 kepada semua penjawat awam negeri gred 15 dan ke bawah yang diberikan pada Mac tahun depan.
Pembayaran berkenaan bakal melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM4.97 juta.
Menteri Besar, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud berkata, kakitangan lantikan kontrak turut menerima bantuan tersebut.
Katanya, BKK bertujuan meringankan beban penerima dalam membuat persiapan menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.
“Lantikan politik turut menerima sumbangan tersebut dan jumlah ini ditentukan oleh pihak kerajaan negeri.
“BKK ini sebagai tanda penghargaan atas khidmat bakti mereka kepada kerajaan negeri,” katanya semasa membentangkan Belanjawan Kelantan 2025 pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, di sini hari ini.
Mohd. Nassuruddin berkata, sebagai tanda prihatin dan sentiasa meletakkan kebajikan rakyat sebagai keutamaan, kerajaan negeri turut mengumumkan pemberian diskaun sebanyak 90 peratus ke atas tunggakan denda cukai tanah.
Katanya, tempoh tawaran diskaun ini dapat dinikmati oleh rakyat Kelantan bagi tempoh satu bulan bermula 1 Disember ini. – UTUSAN










