Tengku Zafrul masuk PKR, hubungan kerajaan Perpaduan teruji ?

Tengku Zafrul masuk PKR, hubungan kerajaan Perpaduan bakal teruji ?

TENGKU ZAFRUL TENGKU ABDUL AZIZ
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEPUTUSAN Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz mengumumkan keluar daripada UMNO untuk menyertai PKR bagai mengesahkan desas-desus sebelum ini dan bukan mengejutkan.

Tindakan bekas Ketua UMNO Bahagian Kota Raja itu berlaku sebalik belum reda isu peletakan jawatan Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad sebagai menteri di dalam kerajaan Perpaduan yang sekali gus memberi gambaran rombakan Kabinet sudah pasti berlaku ketika UMNO juga menuntut satu lagi jawatan Kabinet selepas keputusan Tengku Zafrul.

Persoalan ketika ini, adalah PKR mahu menerima kemasukkan Tengku Zafrul atau sebalik­nya demi menjaga keharmonian dan hubungan di dalam kerajaan Perpaduan.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebelum itu sudah menegaskan beliau tiada masalah dengan keputusan Tengku Zafrul  namun tidak beretika untuk mana-mana parti kerajaan Perpaduan menerima daripada parti sekutu lain.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki juga menegaskan perkara sama adalah amat tidak wajar untuk mana-mana parti dalam kerajaan Perpaduan menerima keahlian daripada ahli parti lain sewenang-wenangnya.

Manakala, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim pula melihat sebaliknya dengan berpandangan penyertaan Tengku Zafrul ke dalam PKR kelak mampu menarik sokongan pelbagai pihak untuk bersama-sama parti itu membina sebuah negara yang lebih progresif, adil dan inklusif.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung PKR, Dr. Fuziah Salleh memaklumkan bahawa pihaknya belum menerima sebarang permohonan rasmi daripada Tengku Zafrul untuk menyertai parti itu.

Prestasi cemerlang Tengku Zafrul sebagai menteri yang banyak membantu membawa masuk pelaburan dan desas-desus bahawa beliau sebagai calon sesuai menggantikan Rafizi di Kementerian Ekonomi menguatkan alasan untuk PKR menerima kemasukannya. 

Tengku Zafrul selaku teknokrat dengan latar belakang profesional yang luas menjadikan beliau sentiasa menjadi ‘rebutan’ diberi amanah menerajui kementerian penting. Tengku Zafrul juga menjadi pilihan berada di dalam kabinet semasa pentadbiran dua Perdana Menteri sebelum ini.

Tempoh lantikan Tengku Zafrul sebagai ahli Dewan Negara akan tamat hujung tahun ini dan tidak boleh disambung memandangkan kedudukan sebagai anggota Senator terhad kepada dua penggal atau enam tahun, di mana beliau telah mencapai tahap tersebut.

Perjalanan politik Tengku Zafrul juga dilihat lebih sesuai di dalam PKR berbanding UMNO khususnya di Selangor sekiranya bertanding di mana-mana kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi meletakkannya dilantik sebagai Menteri Besar.

Hubungan UMNO dan PKR di dalam kerajaan Perpaduan cukup baik yang kerjasama tersebut dijangka diteruskan di dalam Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).   

Namun, kini terpulang kepada kedua-dua parti tersebut menangani isu Tengku Zafrul agar tidak menjadi punca berlaku keretakan yang sekali gus bakal menjejaskan kerajaan Perpaduan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×