TANAH MERAH: Berang dan berdendam akibat ditegur menunggang motosikal secara berbahaya di kawasan kampung, seorang remaja didakwa sanggup memukul seorang warga emas dengan sebatang cota besi hingga maut dalam kejadian di Kampung Buloh Ipoh, di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 petang itu, mangsa, Shamsuddin Mohamad, 60, yang mengalami kecederaan parah di bahagian muka meninggal dunia di lokasi kejadian selepas rebah dipukul remaja terbabit.
Adik tiri mangsa, Hasnah Ghazali, 40, berkata, sebelum kejadian, abangnya sedang berbual dengan seorang rakan di sebuah bangsal berhadapan dengan kedai runcit.
Katanya, selepas rakannya pulang, abangnya didatangi suspek yang berusia 18 tahun sebelum mengajaknya ke belakang kedai runcit.
“Remaja terbabit tiba-tiba memukul abang dengan sebatang cota besi yang dipercayai dibeli secara dalam talian. Kejadian itu disedari oleh seorang lelaki yang melalui kawasan berkenaan. Pukulan pada bahagian muka itu menyebabkan abang saya rebah dan tidak sedarkan diri,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik, Hospital Tanah Merah di sini hari ini.
Hasnah berkata, dia mengetahui kejadian menimpa abangnya itu kira-kira pukul 5.45 petang sebelum bergegas ke kawasan tersebut.
Katanya, dia mendapati bahagian muka abangnya berlumuran darah dan sudah tidak bernyawa.
“Difahamkan, remaja terbabit berdendam dengan abang saya kerana sebelum ini ada menegurnya yang banyak kali menunggang motosikal secara berbahaya di kawasan kampung.
“Kali terakhir saya bercakap dengan abang pada Rabu lalu ketika kami berada di rumah ibu di kampung ini. Kami berdua hanya dua beradik dan arwah abang tinggal bersama ibu yang berusia 78 tahun,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Superintendan Mohd. Haki Hasbullah ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan laporan lanjut akan menyusul. – UTUSAN