Tadbir urus negara mesti berlandaskan syariat Islam - Sultan Ibrahim

Tadbir urus negara mesti berlandaskan syariat Islam – Sultan Ibrahim

SULTAN Ibrahim (tengah) ketika menyampaikan anugerah Tokoh Ma’al Hijrah Peringkat Kebangsaan dan Antarabangsa sempena Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1447H/2025M di sini hari ini. - UTUSAN/ISKANDAR ISHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menegaskan, tadbir urus negara mestilah berpaksikan syariat Islam dan bukannya berlandaskan fahaman sekular atau liberal yang menyimpang daripada prinsip Islam sebenar.

Baginda bertitah, Islam adalah agama yang lengkap dan menyeluruh, meliputi setiap aspek kehidupan manusia termasuk pemerintahan dan pentadbiran negara.

“Urus tadbir kerajaan mestilah mengikut landasan syariat Islam, bukannya mengikut fahaman sekular atau liberal.

“Islam adalah agama yang lengkap dan sempurna, mencakupi seluruh aspek kehidupan manusia,” titah baginda sempena Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1447H/2025M di sini, hari ini.

Sultan Ibrahim turut memberi peringatan keras agar tiada pihak memperalatkan agama Islam untuk kepentingan politik sempit atau menabur kebencian yang boleh memecah-belahkan masyarakat.

“Oleh itu, janganlah ada pihak yang menunggang agama untuk kepentingan parti politik mereka, atau sebabkan fitnah dan kebencian yang akan memecah-belahkan masyarakat,” titah baginda.

Baginda turut menyeru agar anggota pentadbiran dan kepimpinan negara menjadikan Rasulullah SAW sebagai contoh terbaik dalam urus tadbir yang berasaskan keadilan, hikmah dan belas ihsan terhadap rakyat.

“Saya juga menyeru anggota pentadbiran dan kepimpinan negara supaya mencontohi sifat Rasulullah SAW yang berhikmah, adil dan tidak menzalimi yang lemah

“Saya menyeru umat Islam supaya menjadikan ajaran Islam sebagai panduan hidup sebenar yang dizahirkan melalui amalan, akhlak dan adab yang terpuji. Bukan sekadar penampilan luaran atau simbol semata-mata,” titah Baginda

Turut berangkat ke majlis ialah Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Sultan Ibrahim dengan diiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Hadir sama ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar.

Tema sambutan Ma’al Hijrah tahun ini ialah ‘Membangun Ummah Madani’ yang mengangkat kepentingan nilai Islam dalam membentuk masyarakat sejahtera, bersatu dan berintegriti. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN