Sungai Klang: Sampah dikutip, antaranya katil, peti ais, motosikal

Sungai Klang: 94,000 tan sampah dikutip, antaranya katil, peti ais, bangkai motosikal

Sungai Klang
SEBUAH kapal korek digunakan untuk mengorek dasar bagi mendalamkan dasar Sungai Klang berhampiran Taman Sri Muda, di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN/SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Sampah menjadi salah satu faktor menyebabkan Sungai Klang semakin cetek dan tidak mampu menampung limpahan air sekali gus mencetuskan banjir ketika hujan lebat yang turut disumbang oleh air pasang.

Malah, antara sampah ditemukan dalam sungai tersebut seperti katil, peti ais dan beberapa kelengkapan rumah lain selain bangkai motosikal yang pernah dikeluarkan sejak aktiviti pembersihannya dilakukan pada 2018 oleh Landasan Lumayan Sdn. Bhd. (LLSB).

Pengarah Urusannya, Syaiful Azmen Nordin berkata, botol, bekas makanan, kerusi dan baldi antara sisa plastik yang paling banyak dibawa keluar menjadi sebahagian besar daripada 94,000 tan metrik sampah dikutip di sungai berkenaan.

“Sampah sedemikian menjadi salah satu punca Sungai Klang menjadi cetek. Ketika kita memulakan projek pelebaran dan pendalaman Sungai Klang pada 2022 lalu (yang bermula dari Jambatan Parang, Klang hingga Kampung Pasir, Kuala Lumpur), sungai ini amat cetek iaitu dengan kedalaman 1 hingga 2 meter (m) sahaja.

“Kami masih mengeluarkan sampah di dasar sungai sambil melakukan kerja melebarkan dan mendalamkan sungai,” katanya kepada pemberita pada program taklimat dan lawatan Projek Mitigasi Banjir SMG Zon 8, hari ini.

Projek Mitigasi Banjir itu merupakan sebahagian daripada projek tebatan banjir bernilai RM700 juta di Sungai Klang bagi menangani isu pencemaran dan banjir.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari sebelum ini dilapor memaklumkan projek tersebut meliputi 12 zon menerusi empat blok utama kawasan titik panas berlaku banjir sekitar kawasan Sungai Klang, iaitu sepanjang 56 kilometer (km).

Jelas Syaiful Azmen, dua blok dalam projek tersebut iaitu Blok 1 dari Jambatan Parang, Klang sehingga Bandar Sultan Suleiman, Klang dan Blok 3 dari Kampung Sungai Kandis, Klang hingga Kampung Lombong, Shah Alam sedang giat dijalankan.

“Manakala Blok 2 iaitu dari Bandar Sultan Suleiman hingga Kampung Sungai Kandis dan Blok 4 dari Kampung Lombong hingga Kampung Pasir, Kuala Lumpur, kerja masih belum bermula.

“Kami jangka kerja melebarkan dan mendalamkan sungai di kawasan dua blok ini bermula tahun hadapan,” jelasnya.

Sementara itu menurut Syaiful Azmen, Sungai Klang kini berada kelas 3 berbanding kelas kelima kira-kira tujuh tahun lalu walaupun di sepanjangnya terdapat 25 kawasan industri dan kira-kira 10 juta penduduk tinggal di kawasan berhampiran. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN