BAGAN DATUK: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, hari ini berkenan merasmikan Dataran Waterfront Bagan Datuk di sini.
Majlis disempurnakan menerusi lafaz perasmian sebelum baginda menandatangani plak yang disediakan.
Baginda kemudian menonton demonstrasi maritim seterusnya melawat pameran yang disediakan di kawasan tersebut.
Berangkat sama pada majlis itu ialah, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.
Turut berkenan berangkat, Raja Muda, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Dihilir, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris.
Yang turut hadir, Timbalan Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Ahmad Zahid, dalam ucapannya, berkata pembinaan Dataran Waterfront itu adalah satu lagi tarikan istimewa untuk penduduk dan pengunjung ke daerah Bagan Datuk.
Katanya, dataran tersebut turut meliputi beberapa komponen projek yang telah dilaksanakan seperti pembinaan Terminal Jeti Pelancongan Bagan Datuk, kemudahan riadah dan rekreasi, serta pemuliharaan fasad bangunan kedai dan naik taraf jalan di sekitar pekan Bagan Datuk.
Selain itu, katanya, landskap dataran itu turut diserikan dengan replika tempurung kelapa bersama-sama air pancut, bangunan BD Walk dan juga sebuah replika kapal jong termasuk set alat permainan kanak- kanak dan informasi sejarah di bahagian dalam dan atas kapal jong tersebut.
“Jong ini adalah imaginasi orang – orang lama bahawa ia menyerupai kapal yang dinaiki Sultan Muzaffar Shah yang terkandas di Beting Beras Basah, dekat sini, sebelum ini,” katanya.
Beliau berkata, pembinaan dataran itu memberi peluang orang ramai khususnya penduduk Bagan Datuk meluangkan masa untuk beriadah bersama keluarga di samping menikmati keindahan matahari terbenam berlatarkan muara Sungai Perak pada waktu senja.
Katanya, Bagan Datuk sebelum ini dianggap sebagai tanah hujung Perak yang kurang dikunjungi, tetapi keberadaan dataran itu telah mengubah keadaan itu apabila pekan Bagan Datuk kini sering penuh dengan orang ramai dan berlaku kesesakan jalan raya setiap hujung minggu.
“Ini sebenarnya adalah sesuatu yang baik kepada penduduk di sini,” katanya.
Beliau menzahirkan rasa penghargaan dan terima kasih kepada Sultan Nazrin yang mana atas perkenan baginda membolehkan Bagan Datuk menjadi sebuah daerah seterusnya menikmati arus pembangunan. – UTUSAN