KUALA LANGAT: Pelaksanaan perluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) bermula lusa tidak memberi kesan kepada rakyat negara ini yang menghantar anak ke institusi pendidikan peringkat, taman asuhan kanak-kanak (taska), taman didikan kanak-kanak (tadika) dan pra sekolah.
Sebaliknya, caj SST enam peratus hanya dikenakan kepada institusi pendidikan berkenaan yang mengenakan yuran sehingga RM60,000 setahun bagi setiap murid serta warga asing yang menghantar anak mereka ke tadika atau taska di negara ini.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, secara keseluruhannya ia tidak memberi kesan kepada ibu bapa khususnya golongan B40 dan M40 ke pusat penjagaan kanak-kanak.
“Secara menyeluruhnya tidak jika mereka bukan dalam kategori yang membayar yuran lebih RM60,000 untuk seorang murid sepanjang tahun. (Kalau lebih) Itu akan dikenakan SST, tetapi secara menyeluruhnya tidak.
“Kalau mereka (ibu bapa) menghantar (anak) kepada pusat jagaan swasta yang mengenakan yuran sehingga RM60,000 maknanya mereka mampulah,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Apresiasi Rakan Strategik Anjung Sinar 2025, hari ini.
Terdahulu, SST dilapor diperluas kepada sektor perkhidmatan pendidikan swasta sebanyak enam peratus bagi pelajar antarabangsa mulai Selasa ini.
Institusi swasta yang mengenakan bayaran yuran melebihi RM60,000 setahun mesti mendaftar bagi cukai tersebut yang turut meliputi institusi pendidikan tinggi (IPT) dan pusat bahasa apabila mengambil pelajar antarabangsa.
Bagaimanapun, Nancy menyeru pengusaha-pengusaha berkenaan supaya tidak mengambil kesempatan atas pelaksanaan SST dengan menaikkan kadar yuran dengan sewenang-wenangnya.
“Kita mengharapkan mereka (pengusaha) menjalankan tugas dengan jujur. Jujurlah untuk membantu ibu bapa supaya mereka dapat bekerja dan pada masa sama perlu mengingatkan diri sebab orang memerlukan tempat (pusat jagaan) itu.
“(Justeru) Janganlah kita mengenakan caj berlebihan (daripada kadar semasa) atapun secara keterlaluan,” tegasnya. – UTUSAN