PETALING JAYA: Pelaksanaan peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang berkuat kuasa mulai 1 Julai ini tidak memberi kesan langsung kepada golongan B40 dan 40 peratus pertengahan (M40).
Pensyarah Kanan Ekonomi Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr. Bashir Ahmad Shabir Ahmad berkata, peluasan SST kali ini bersifat bersasar dan menumpukan kepada Cukai Barangan Bernilai Tinggi yang hanya melibatkan barangan dan perkhidmatan mewah.
“SST kali ini menyasarkan perbelanjaan premium seperti makanan eksklusif, pendidikan swasta bertaraf antarabangsa, rawatan kesihatan kelas pertama serta hartanah bernilai jutaan ringgit.
“Cukai itu hanya dikenakan terhadap perbelanjaan bagi makanan premium, pendidikan swasta berkelas tinggi, rawatan kesihatan eksklusif serta pembelian hartanah bernilai jutaan ringgit.
“Rakyat dalam kelompok B40 (40 peratus terendah) dan M40 tidak berada dalam kategori pengguna barangan atau perkhidmatan yang dikenakan cukai ini. Jadi, impak terhadap mereka amat minimum,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Media sebelum ini melaporkan, kerajaan melaksanakan semakan kadar cukai SST serta peluasan skop percukaian bermula 1 Julai ini sebagai langkah memperkukuh kedudukan fiskal negara dan memperluas asas percukaian tanpa membebankan rakyat terbanyak.
Mengulas lanjut, Bashir Ahmad berkata, langkah itu dilihat tepat dalam memastikan keadilan cukai tanpa membebankan majoriti rakyat.
Katanya, buah-buahan import tertentu akan dikenakan SST sekitar lima peratus mengikut pengelasan oleh Kementerian Kewangan dan akan menyebabkan sedikit kenaikan harga di pasaran tempatan.
“Namun, perlu diingat, bukan semua buah import dikenakan cukai.
“Dan yang penting, buah tempatan tidak dikenakan SST, sekali gus memberi kelebihan dari segi daya saing serta membuka peluang lebih luas kepada pekebun tempatan untuk menembusi pasaran.
“Langkah ini boleh merangsang sektor pertanian domestik dan mengurangkan kebergantungan kepada import makanan, seiring dengan dasar sekuriti makanan negara,” katanya.-UTUSAN










