PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menggunakan bantuan Pasukan Taktikal SPRM atau Anti Corruption Tactical Squad (ACTS) bagi proses mengambil keterangan seorang individu bergelar Tan Sri.
Satu sumber mendedahkan kepada Utusan Malaysia, kehadiran sepasukan anggota ACTS bersama dua pegawai penyiasat adalah bagi membantu menggeledah bilik-bilik tertentu yang disyaki menjadi tempat simpanan aset atau barangan berharga hasil daripada penyelewengan itu.
Difahamkan juga, pasukan taktikal itu digunakan demi keselamatan semua pihak kerana disyaki terdapat bilik yang menyimpan senjata dalam kediaman itu.
Terdahulu, sepasukan anggota ACTS dengan empat buah kenderaan tiba di kediaman Tan Sri berkenaan pagi.
Terdahulu, proses merakam keterangan individu Tan Sri yang dikaitkan kes penyelewengan dana sukuk pembinaan lebuh raya bersambung hari ini.
Kenderaan Toyota Vios berwarna putih membawa pegawai SPRM dilihat memasuki kediaman Tan Sri berkenaan pada pukul 8.45 pagi.
Dalam pada itu, salah satu pintu masuk kawasan kediaman ahli perniagaan itu ditutup oleh polis bantuan sebuah syarikat.
Kon dan penghadang diletakkan di pintu masuk ke kawasan kediaman itu, dengan anggota polis bantuan yang berada di sana juga menghalang petugas media daripada menghampiri kawasan terbabit. – UTUSAN










