SPRM fail lucut hak Menara Ilham hari ini

SPRM fail lucut hak Menara Ilham hari ini

AZAM Baki pada sidang akhbar di Putrajaya hari ini.-UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memohon kepada mahkamah bagi melucutkan hak beberapa aset milik Allahyarham Tun Daim Zainuddin.

Antara aset berkenaan termasuk Menara Ilham yang terletak di Jalan Binjai, Kuala Lumpur serta aset-aset lain milik isteri Tun Daim, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid serta proksi mereka.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya akan melakukan proses (pelucutan hak) berkenaan hari ini namun mengakui ia tidak mudah kerana banyak perkara yang perlu dilakukan.

“Selain Menara Ilham, beberapa lagi aset akan melalui proses sama dalam tempoh terdekat.

“Dalam tempoh seminggu atau dua lagi, SPRM akan memohon untuk melucutkan hak aset-aset lain milik Tun Daim, Na’imah dan beberapa pihak berkaitan, membabitkan harta dalam negara,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Katanya, permohonan itu akan dibuat di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini.

Pelucutan hak itu akan dilakukan mengikut Seksyen 55 atau 56 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

Awal bulan ini, Menara Ilham disita sekali lagi oleh SPRM selepas agensi penguat kuasaan itu mendapat kebenaran daripada Timbalan Pendakwa Raya untuk menyita bangunan yang dikaitkan dengan Daim.

Dalam perkembangan sama, Azam berkata, pihaknya dimaklumkan pihak berkuasa United Kingdom (UK) telah bersetuju mengenakan perintah larangan terhadap aset dan harta bernilai kira-kira RM700 juta milik keluarga dan proksi yang dikaitkan dengan Allahyarham Tun Daim Zainuddin.

Menurutnya, persetujuan perintah larangan itu telah dimaklumkan kepada pihaknya semalam.

“Kami telah memohon kepada pihak berkuasa itu pada 5 Jun lalu bagi memohon meminda beberapa perkara berkaitan perintah larangan itu di mahkamah.

“Susulan itu kami turut memaklumkan kepada pihak berkuasa UK dan semalam, kami mendapat makluman, mereka juga memfailkan perintah itu di UK,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, tiga kediaman mewah di London adalah antara tujuh hartanah dan satu akaun bank didakwa milik isteri Allahyarham Tun Daim dan keluarga, berjaya dibekukan oleh SPRM membabitkan nilai berjumlah GBP132 juta (RM758.2 juta).-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN