KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin sekali lagi memohon mendapatkan dokumen berkaitan pertuduhan gagal mematuhi notis Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya mengisytiharkan 70 harta yang dimilikinya.
Daim, 86, atau nama sebenarnya Che Abdul Daim Zainuddin memfailkan permohonan kali kedua bagi mendapatkan sesalinan aduan kes selepas permohonan pertama yang difailkan pada 31 Januari lalu, tidak mendapat maklum balas daripada agensi berkenaan.
Notis usul permohonan penzahiran dokumen itu dikemukakan menerusi Tetuan Raj@Sach di Mahkamah Sesyen di sini pada 31 Julai lalu.
Daim menerusi afidavit sokongan yang diikrarkannya berkata, SPRM tidak mendedahkan aduan tersebut sebagaimana yang diwajibkan di bawah Seksyen 51A Kanun Prosedur Jenayah (CPC).
Ujar bekas Menteri Kewangan itu, aduan berkenaan membentuk asas kepada pengeluaran notis SPRM terhadapnya yang membawa kepada pertuduhan yang dikemukakan di mahkamah.
“Aduan tersebut mesti didedahkan kepada saya di bawah mandat Seksyen 29(4) Akta SPRM 2009 dan/atau Seksyen 51 dan/atau Seksyen 51A.
“Aduan tersebut adalah relevan untuk memastikan suatu perbicaraan adil bagi pertuduhan tersebut selaras dengan hak saya di bawah Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan.
“Ia juga relevan bagi mahkamah untuk mencapai suatu keputusan yang adil dan saksama bagi pertuduhan terhadap saya,” katanya dalam afidavit tersebut.
Semasa prosiding hari ini, peguam M. Puravelan mewakili Daim manakala pendakwaan selaku responden diwakili Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin. Daim tidak hadir di mahkamah dan diwakili isterinya, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid.
Sementara itu, Wan Shaharuddin mengesahkan pihak pendakwaan telah menerima permohonan itu pada 6 Ogos lalu.
Hakim Azura Alwi kemudian menetapkan 27 Ogos ini bagi sebutan kes dan tarikh pendengaran permohonan tersebut. Pada 29 Januari lalu, Daim didakwa atas pertuduhan gagal mengisytiharkan kepada SPRM 70 harta yang dimilikinya.
Tokoh korporat itu didakwa dengan sengaja memberikan satu pernyataan bertulis yang tidak mematuhi terma notis di bawah Seksyen 36(1)(a) Akta SPRM 2009 (Akta 694). Notis bertarikh 8 November 2023 itu telah dihantar kepada tertuduh oleh seorang pegawai SPRM berpangkat Pesuruhjaya dan yang lebih tinggi pada 14 November 2023.
Harta itu antaranya satu akaun Amanah Saham Nasional Berhad (ASB), tujuh kenderaan seperti Jaguar, Mercedez Benz serta Roll Royce, 38 syarikat dan 25 hartanah di ibu negara, Selangor, Negeri Sembilan, Perak serta Pahang.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) No.2, Lebuh Wawasan, Presint 7, Putrajaya pada 13 Disember 2023. –UTUSAN










