KUALA LUMPUR: Isteri kepada bekas Menteri Kewangan, Allahyarham Tun Daim Zainuddin, Toh Puan Nai’mah Abdul Khalid, dua anaknya dan dua peguam keluarga itu memfailkan saman pemula terhadap Perdana Menteri dan dua yang lain di Mahkamah Tinggi di sini.
Saman pemula yang difailkan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi hari ini adalah bagi mencabar siasatan pihak berkuasa terhadap mereka berkaitan dakwaan menggulingkan kerajaan.
Selain Na’imah, plaintif dalam saman pemula itu ialah dua anaknya, Muhammed Amir Zainuddin dan Muhammed Amin Zainuddin serta dua peguam keluarga iaitu Amir Zharif Abdullah dan Muhammad Nizamuddin Abdul Hamid.
Mereka menamakan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ketua Polis Negara (KPN), Datuk Seri Mohd Khalid Ismail dan Kerajaan Malaysia selaku defendan pertama hingga ketiga.
Kesemua plaintif antara lain memohon perisytiharan bahawa siasatan yang dimulakan oleh Mohd Khalid dan kerajaan terhadap mereka di bawah Seksyen 124B Kanun Keseksaan berdasarkan laporan polis bertarikh 26 Februari lalu, adalah menyalahi undang-undang dan tidak berasas.
Mereka juga memohon perisytiharan bahawa siasatan itu tidak berperlembagaan, berniat jahat dan dilaksanakan untuk tujuan tersembunyi serta suatu penyalahgunaan kuasa statutori.
Na’imah dan plaintif lain turut memohon perisytiharan bahawa Seksyen 124B yang bertujuan untuk melarang ‘aktiviti yang menjejaskan demokrasi berparlimen’ sebagai tidak berperlembagaan, terbatal dan tidak sah kerana samar-samar, terlalu luas dan tidak seimbang dalam skopnya.
Selain itu, plaintif menyatakan ia melanggar Perkara 5 (kebebasan diri), Perkara 8 (kesamarataan di sisi undang-undang dan Perkara 10 (kebebasan bersuara, berhimpun dan berpersatuan) Perlembagaan Persekutuan.
Plaintif juga memohon perisytiharan bahawa tindakan KPN dan kerajaan
dalam memulakan dan meneruskan siasatan terhadap mereka, melanggar kebebasan asasi yang dijamin di bawah perlembagaan.
Mereka juga memohon perintah interim agar KPN dan kerajaan dihalang menggunakan dan memberi kesan kepada peruntukan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 untuk memudahcara siasatan di bawah seksyen 124B terhadap mereka.
Ia sementara menunggu penentuan persoalan Perlembagaan yang dibangkitkan dalam relif melalui saman pemula terbabit.
Menerusi kenyataan akhbar, peguam plaintif, Rajesh Nagarajan dan Sachpreetraj Singh berkata, saman itu difailkan demi kepentingan awam bagi mencabar penyalahgunaan kuasa dan menghentikan dakwaan palsu mengenai kononnya wujud ‘komplot Zionis’ untuk menjatuhkan kerajaan.
Sebelum ini, Mohd Khalid mengesahkan siasatan berhubung dakwaan wujudnya cubaan untuk menjatuhkan kerajaan dan melakukan sabotaj terhadap kestabilan negara.
Beliau berkata, siasatan berkenaan membabitkan seorang individu berpengaruh tempatan yang didakwa mempunyai kaitan dengan agensi media antarabangsa.
Na’imah pula mendakwa beliau tidak pernah terlibat, apatah lagi mempertimbangkan atau menyokong sebarang usaha menjejaskan kestabilan kerajaan yang dipilih rakyat. – UTUSAN










