12 Ogos keputusan semakan Na'imah berhubung persoalan undang-undang

12 Ogos keputusan semakan Na’imah berhubung persoalan undang-undang

NA'IMAH ABDUL KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 12 Ogos ini untuk keputusan semakan Toh Puan Na’imah Abdul Khalid, isteri bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin terhadap keputusan mahkamah terdahulu yang menolak permohonannya untuk merujuk beberapa persoalan undang-undang.

Hakim K. Muniandy menetapkan tarikh tersebut selepas mendengar hujah pihak-pihak terlibat di sini hari ini.

Pada prosiding hari ini, Na’imah diwakili peguam bela, Datuk Dr. Gurdial Singh Nijar manakala pendakwaan yang dinamakan sebagai responden diwakili Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, Law Chin How dan Mohamad Fadhly Mohd. Zamry.

Pada 18 Februari lalu, Mahkamah Sesyen di sini menolak permohonan Na’imah untuk merujuk lapan persoalan undang-undang ke Mahkamah Tinggi atas alasan permohonan itu tidak bermerit dan tiada isu Perlembagaan berbangkit dalam kes berkenaan.

Pada 29 Februari 2024, Na’imah memfailkan permohonan untuk merujuk persoalan undang-undang membabitkan Seksyen 30(5), Seksyen 36(2) dan Seksyen 62 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (SPRM) serta Seksyen 32(3)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 ke Mahkamah Tinggi.

Pemohon juga memohon mahkamah menentukan sama ada kedua-dua seksyen tersebut melanggar Fasal 5 (kebebasan diri) dan 8 (perlindungan sama rata di sisi undang-undang) Perlembagaan Persekutuan dan seterusnya menjadikannya tidak berperlembagaan dan terbatal.

Terdahulu ketika membalas hujahan Na’imah selaku pemohon, Chin How menyatakan kes yang dirujuk oleh Na’imah telah diambil di luar konteks yang sepatutnya.

Ujarnya, walaupun Na’imah dipanggil oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) sebagai saksi dalam siasatan terhadap Allahyarham suaminya, wanita terbabit perlu memberikan keterangan sebagai mana yang diminta dan tidak boleh berdiam diri.

Ini kerana Seksyen 30(5) menyatakan mana-mana individu untuk disoal siasat secara lisan perlu memberi keterangan dan tidak boleh berdiam diri.

“Oleh itu, pemohon adalah di bawah tanggungjawab undang-undang untuk membantu SPRM berhubung kes pengisytiharan harta arwah suaminya dengan mematuhi notis di bawah seksyen 36(1)(b) SPRM,” kata pendakwa raya itu.

Selain itu, permohonan yang dikemukakan Na’imah bukanlah sesuatu yang tidak luar biasa sehingga membolehkan campur tangan oleh mahkamah lebih tinggi.

“Dakwaan bahawa Hakim Mahkamah Sesyen terkhilaf dalam keputusannya, berlaku ketidakwajaran dan ketidakpatuhan adalah tidak berasas.

“Hakim Mahkamah Sesyen tidak melakukan sebarang kesilapan dari segi undang-undang atau fakta apabila beliau menolak untuk menggunakan kuasa semakan terhadap keputusan yang dipertikaikan yang dibuat oleh hakim perbicaraan,” ujar Chin How.

Sementara itu, Gurdial sekali lagi menyatakan, Na’imah hanyalah seorang saksi dan berhak untuk memilih sama ada ingin memberi keterangan atau berdiam diri.

Tambahnya, disebabkan terdapat pertikaian berhubung peruntukan undang-undang terbabit, maka lebih wajar untuk isu perundangan tersebut didengar dan diputuskan terlebih dahulu sebelum kes dibicarakan.

Selain memohon keabsahan peruntukan tersebut, Na’imah turut memohon perintah supaya prosiding di Mahkamah Sesyen berhubung pertuduhan terhadapnya ditangguhkan sehingga permohonan rujukan itu didengar dan diputuskan dan perintah lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Pada 23 Januari 2024, Na’imah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan gagal mengisytiharkan 12 harta seperti yang dikehendaki Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Disember 2023.

Harta-harta itu melibatkan dua buah syarikat Ilham Tower Sdn. Bhd. dan Ilham Baru Sdn. Bhd. serta dua kenderaan mewah Mercedez Benz. Selain itu, lapan hartanah didakwa turut gagal diisytiharkan iaitu Menara Ilham di Jalan Binjai di sini, kediaman di Persiaran Bukit Tunku serta tanah dan bangunan berstatus pegangan bebas di Bukit Tunku, Pulau Pinang dan Taman Tun Dr. Ismail.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi lima tahun dan didenda maksimum RM100,000, jika sabit kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN