KUALA LUMPUR: Keluarga bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin dan 18 pihak lagi berjaya memperoleh kebenaran untuk memula semakan kehakiman bagi mencabar tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang membekukan akaun mereka.
Hakim Datuk Aliza Sulaiman memberikan kebenaran tersebut selepas mendapati permohonan difailkan oleh semua pemohon itu telah berjaya memenuhi ambang yang ditetapkan.
Ketika membaca penghakiman ringkasnya, Hakim Aliza menyatakan pemohon berjaya menunjukkan bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tetap bertindak menyita akaun-akuan tersebut walaupun mengetahui tempoh sitaan telah tamat dan tiada kertas siasatan dibuka terhadap mereka.
Katanya, pemohon juga telah menunjukkan wujud kes prima facie mengenai niat tidak baik oleh pihak berkuasa.
Pada prosiding hari ini, keluarga Allahyarham Daim yang terdiri isterinya, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid dan empat anak mereka, Asnida, Wira Dani, Muhammed Amir Zainuddin dan Muhammed Amin Zainuddin diwakili peguam Datuk Dr. Gurdial Singh Nijar.
Pemohon-pemohon lain terdiri daripada Aad Equity Sdn. Bhd., Yayasan Haji Zainuddin, Ilham Baru Sdn. Bhd., Anchor Point Sdn. Bhd., Kangkung Catering Sdn. Bhd., Adrihaniz Sdn. Bhd., Syarikat Maluri Sdn. Bhd., Amiraz Sdn. Bhd., dan Ridana Sdn. Bhd.
Syarikat-syarikat lain ialah Daan Sdn. Bhd., Maya Seni Holdings Sdn. Bhd., Magical Zone Sdn. Bhd. Permatang Maju Sdn. Bhd., Brainstorms Sdn. Bhd., Arida Farms Sdn. Bhd., Gajah3 Resource Centre Sdn. Bhd., Ilham Tower Sdn. Bhd. dan Selidik Jaya Sdn. Bhd.
Selain SPRM, turut dinamakan sebagai responden ialah Penolong Penguasa Sektor Sasaran Operasi Bahagian Pengubahan Wang Haram dan Pelucuthakan Harta (AMLFOP) SPRM, Haris Fadhila Sukaime; Pengarah Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram SPRM, Mohamad Zamri Zainul Abidin; Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki; Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; dan Kerajaan Malaysia, sebagai responden pertama hingga keenam.
Kesemua responden diwakili oleh Peguam Kanan Persekutuan, Nurhafizzah Azizan.
Dalam permohonan mereka yang difailkan pada 6 Jun 2024, Daim dan keluarga memohon perintah untuk mengetepikan tindakan SPRM dalam menyita dan membekukan aset mudah alih mereka mengikut Seksyen 50 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).
Selain memohon pembekuan akaun itu dibatalkan, mereka turut memohon satu perintah supaya ganti rugi dan kos untuk ditaksirkan menurut Seksyen 44(6) AMLATFPUAA, ganti rugi am dan teladan, kos serta perintah lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.
Sementara itu, Na’imah melalui afidavit sokongan bagi menyokong permohonan itu berkata mereka sekeluarga terjejas berikutan tindakan SPRM menyita akaun terbabit.
Dakwa Na’imah, keputusan dan tindakan itu disengajakan untuk menyasarkan beliau dan keluarganya, dengan mendakwa mereka sekeluarga korup dan membuat kekayaan dengan cara yang salah di sisi undang-undang.
Katanya, beliau dinasihati oleh peguam dan percaya bahawa segala keputusan serta tindakan SPRM adalah bagi tujuan sampingan politik semata-mata dan mereka (keluarga) tidak didakwa di mahkamah atas kesalahan berkaitan AMLATFPUAA. – UTUSAN










