PETALING JAYA: Permohonan maaf Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki kepada keluarga mendiang Teoh Beng Hock terus menerima kritikan pelbagai pihak.
Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) berkata, permohonan maaf Azam itu boleh menghantar isyarat yang salah kepada orang awam iaitu seolah-olah menggambarkan bahawa mereka yang berkuasa kebal daripada tanggungjawab atau tindakan undang-undang.
Menurutnya, SPRM seharusnya mengambil langkah yang memastikan pihak bertanggungjawab terhadap kematian Beng Hock pada 16 Julai 2009 di bawa ke muka pengadilan.
“Azam Baki dilihat sengaja mengelak daripada menyentuh isu pokok iaitu pegawai-pegawai yang terlibat seperti yang disebut oleh Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) dan keputusan Mahkamah Rayuan yang menyatakan bahawa kematian Teoh Beng Hock disebabkan oleh beberapa pegawai SPRM,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Bersih berkata, sekiranya SPRM benar-benar ikhlas dalam permohonan mereka maka perlu mengambil dua langkah untuk memastikan keadilan buat mendiang.
“Langkah pertama yang perlu diambil ialah menggantung perkhidmatan pegawai yang masih berkhidmat sementara menunggu prosiding jenayah dijalankan.
“Kedua, bekukan pencen pesara-pesara yang terlibat dan salurkan keseluruhan jumlah itu sebagai sagu hati kepada keluarga mangsa atau untuk menampung keperluan hidup dan pendidikan anak mendiang Teoh,” katanya.
Semalam, Azam mengutuskan permohonan maaf dan simpati terhadap penderitaan ditanggung keluarga Beng Hock yang meninggal dunia ketika disoal siasat agensi berkenaan yang berlaku pada 2009.
Beliau berkata, SPRM bersedia memberi sejumlah sumbangan ihsan kepada keluarga, khususnya bagi anak mendiang sebagai tanda keprihatinan.
Permohonan maaf itu dikemukakan pada hari ulang tahun ke-16 kematian Beng Hock yang juga merupakan Setiausaha Politik kepada EXCO Selangor ketika itu, Ean Yong Hian Wah.
Bagaimanapun, keluarga mendiang menolak permohonan maaf tersebut kerana disifatkan tiada keikhlasan dalam membawa Keadilan terhadap Beng Hock.
Bersih turut menyelar pelbagai penambahbaikan prosedur siasatan yang diumumkan oleh SPRM selepas kematian Beng Hock pada 16 tahun lalu.
Katanya, reformasi tersebut hanya boleh dianggap sahih sekiranya pegawai SPRM yang terlibat dalam tragedi itu didakwa.
“RCI dan Majlis Peguam telah lama mendedahkan bahawa pegawai-pegawai SPRM yang terlibat disyaki memusnahkan dan mengubah bahan bukti serta bersekongkol dalam keterangan mereka.
“Dengan kata lain, tidak kira setinggi mana kecanggihan peralatan atau fasiliti yang dimiliki, selagi budaya kekebalan dalam agensi penguatkuasaan undang-undang tidak dihapuskan, mereka yang menyalahgunakan kuasa akan tetap mencari jalan untuk mengelak daripada bertanggungjawab, dan reformasi akhirnya akan hanya menjadi hiasan kosmetik atau retorik kosong semata-mata,” katanya. – UTUSAN










