‘Selesaikan dahulu isu air bersih’

‘Selesaikan dahulu isu air bersih’

KANDUNGAN keladak daripada sumber air bawah tanah di Kelantan yang terpaksa ditapis terlebih dahulu bagi memastikan ia bersih dan selamat digunakan. – UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kerajaan negeri perlu segera mencari jalan penyelesaian mengatasi masalah bekalan air bersih sekali gus menggurangkan kebergantungan terhadap sumber air bawah tanah yang mempunyai kandungan besi (Fe) dan ma­ngan (Mn) tinggi.

Presiden Majlis Gabungan Belia Kelantan (MGBK), Mohd. Syahiran Muhammad mengakui terkejut dengan pendedahan sumber air di negeri ini tinggi kandungan Fe dan MN, lebih-lebih lagi rata-rata penduduk menjadikan telaga tiub sebagai sumber mendapatkan bekalan air.

“Kerajaan (negeri) mesti mengambil langkah segera mengatasi masalah yang melibatkan soal kesihatan rakyat.

“Sudah tiba masanya kerajaan negeri melalui Air Kelantan Sdn. Bhd meyakinkan rakyat dengan menawarkan kemudahan bekalan air bersih sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada sumber bawah tanah,” katanya.

Kerajaan negeri perlu membentangkan laporan terkini mengenai kerja penggantian paip yang sedang dijalankan ketika ini, malah kena memberi didikan kepada rakyat mengenai bahaya penggunaan sumber air bawah tanah terutama telaga tiub yang dibimbangi oleh menyebabkan berlakunya mendapan.

Utusan Malaysia kelmarin melaporkan, kira-kira 600,000 penduduk Kelantan yang meng­gunakan air telaga dan telaga tiub berisiko menghadapi masalah kesihatan dalam jangka panjang akibat daripada kandungan besi (Fe) dan ma­ngan (Mn) yang tinggi dalam air bawah tanah.

Kajian menunjukkan paras Fe di Bachok dan Kota Bharu mencecah 3.79 mg/L manakala Mn sebanyak 0.76 mg/L, jauh melebihi piawaian Kementerian Kesihatan iaitu masing-masing 0.3 mg/L dan 0.1 mg/L.

Laporan Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) pula mendapati paras Fe antara 1.5 hingga 4.2 mg/L dan Mn antara 0.3 hingga 0.8 mg/L di Pasir Mas dan Tumpat.

Selain risiko kesihatan jangka panjang, air tercemar turut menyebabkan pakaian putih bertukar kuning, kuku kehitaman serta jubin rumah kotor.

Masalah ini memerlukan pe­nyelesaian segera demi kesela­matan dan kesihatan rakyat negeri ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×