PETALING JAYA: Seramai 26 rakyat Malaysia di Iran berada dalam keadaan selamat, meskipun ketegangan di negara itu semakin meruncing susulan tindakan agresif Israel sejak Jumaat lalu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Duta Besar Malaysia ke Iran, Kairi Omar memaklumkan, kesemua individu terbabit berdaftar dengan Kedutaan Malaysia di Tehran dan diarah mengambil langkah berjaga-jaga dan berhubung rapat dengan pihak kedutaan.
“Mereka diminta berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan dari semasa ke semasa. Buat masa ini semuanya berada di kediaman masing-masing dan dinasihati mengikut arahan dikeluarkan pihak berkuasa Iran,” katanya.
Sementara itu, rakyat Malaysia yang kini berada di Iran berada dalam dilema untuk meninggal negara tersebut kerana pilihan yang ada hanyalah jalan laut dan darat selepas lapangan terbang di negara itu ditutup sehingga 30 Jun ini.
Beliau yang dikenali sebagai Siti Zulaikha kini berada di Shiraz iaitu 840 kilometer dari Tehran bersama suaminya warganegara Iran dan anak lelakinya berusia tiga bulan.
Dalam perkongsiannya di laman sosial Threads, Siti Zulaikha berkata, dia sekeluarga ke Iran untuk melawat mentuanya dan merancang untuk meneruskan percutian ke Tehran melalui jalan darat namun terpaksa membatalkan rancangan itu selepas tercetusnya peperangan.
Mereka sekeluarga dijadualkan pulang pada 22 Jun ini namun ia mungkin tidak menjadi kenyataan selepas dimaklumkan lapangan terbang di negara itu kini ditutup.
“Dihubungi pihak kedutaan yang memaklumkan lapangan terbang ditutup sehingga 30 Jun, tiket penerbangan pulang ke UAE (Emiriah Arab Bersatu) adalah pada 22 Jun. Tak mungkin dapat terbang keluar.
“Jadi saya cari jalan lain untuk keluar melalui jalan darat atau laut,” tulis di laman sosial Threads.
Menurut Siti Zulaikha, semakannya dengan syarikat pelancongan tiket feri paling cepat yang ada adalah pada Ahad dan merancang untuk memandu ke kawasan sempadan terdekat untuk mendapatkan tiket feri.
Dalam perkongsiannya mengenai perkembangan di Shiraz sejak tiga hari lalu, Siti Zulaikha turut memuat naik video yang memaparkan roket dipercayai milik Iran sedang melintasi ruangan udara negara tersebut.
Katanya, keadaan itu membuatnya rasa berdebar kerana pertama kali melihat pergerakan roket depan mata.
“Kedengaran bunyi tembakan dan letupan tapi saya masih tak pasti apa. Maklumat mengatakan ia adalah sistem pertahanan udara di sekitar Shiraz yang diaktifkan, tak pasti tembak apa. Boleh dengar dari bilik saya bunyi macam bunga api dari jauh.
“Sekarang (malam kelmarin) kedengaran bunyi letupan kuat dan lebih panjang dari malam tadi (sebelumnya). Sepanjang hari sunyi sepi, tiba-tiba sekarang mula balik. Tapi saya tak pasti bunyi apa. Rasanya sistem pertahanan udara Iran,” katanya.
Utusan Malaysia sedang cuba menghubungi Siti Zulaikha namun setakat ini masih belum berjaya.
Sementara itu, seorang lagi rakyat Malaysia yang berjaya dihubungi Utusan Malaysia melalui e-mel, Nur Amira Zulkifli berkata, dia kini berada di Lordegan iaitu 658 kilometer dari Tehran manakala ahli keluarga lain di Isfahan (445 kilometer dari Tehran).
Katanya yang berasal dari Johor itu, buat masa ini keadaan kesemua mereka masih baik namun masih mencuba untuk mendapatkan maklumat lanjut dari pihak kedutaan berhubung proses pemindahan keluar dari negara tersebut.
“Saya di sini sejak tiga bulan lalu, cuti Hari Raya Aidilfitri, sepatutnya pulang ke tanah air 30 Jun ini tetapi tiket penerbangan sudah dibatalkan. Jadi kalau boleh saya hendak pulang secepat mungkin,” ringkasnya.
Kelmarin Wisma Putra dalam kenyataan rasmi menasihatkan semua rakyat Malaysia di negara itu meninggalkan Iran serta-merta menggunakan apa sahaja kaedah selamat dan tersedia.
Ini berikutan situasi keselamatan di Iran kini sangat tidak menentu dan boleh bertambah buruk pada bila-bila masa tanpa sebarang amaran awal dan pada masa ini pihak kedutaan sedang melakukan persiapan ke arah membawa keluar semua rakyat Malaysia dari Iran.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, jumlah rakyat Malaysia di Iran termasuk perwakilan, pelajar dan pelancong telah dikenal pasti dan tidak terlalu besar, namun langkah pemindahan perlu segera dilaksanakan.
“Mereka telah digerakkan untuk keluar dari Iran. Segala urusan visa telah dimuktamadkan dan perjalanan keluar dijangka Jumaat ini,” katanya pada sidang akhbar selepas mesyuarat Kabinet di sini, semalam.
Sementara itu Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud pula berkata, seramai empat pelajar dikenal pasti masih berada di Iran dengan tiga daripadanya di Qom dan seorang lagi di Isfahan.
“Kami tidak mahu berlaku sebarang insiden yang tidak diingini. Dengan keadaan konflik yang semakin kritikal, mereka perlu segera keluar dari Iran,” katanya ditemui pada Sambutan 25 Tahun USIM di Nilai, semalam. – UTUSAN









