Saluran pembentungan usang punca penternak ikan rugi

Saluran pembentungan usang punca penternak ikan rugi

PENDUDUK dan penternak kolam ikan serta udang menunjukkan saluran pembentungan yang rosak di Kampung Fikri, Setiu, Terengganu, semalam, – UTUSAN/WAN ZURATIKAH IFFAH WAN ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETIU: Sistem perparitan dan pembentungan yang ‘usang’ menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk dan penternak kolam ikan serta udang di Kampung Fikri, di sini, kerana mengakibatkan limpahan air.

Seorang penternak ikan kolam, Mokhtar Ali, 65, ber­kata, saluran pembentungan yang dibina sejak 40 tahun lalu kini menghadapi kerosakan dan bahagian tanah di sekeli­lingnya turut mengalami ­hakisan.

“Sistem pembentungan ini merupakan satu-satunya yang menjadi laluan keluar dan ma­suk air dari tali air sepanjang kira-kira dua kilometer ke su­ngai berhampiran, yang mana di sebelahnya terletak kolam ikan serta udang milik 37 penternak di Kampung Fikri ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pembentung itu bukan ha­nya ‘rosak’ tetapi ia tidak mampu menampung jumlah air yang banyak terutama ketika musim banjir sehingga menyebabkan limpahan air ke kolam ikan dan udang penduduk,” katanya ketika ditemui di Kampung Fikri.

Kata Mokhtar, keadaan itu berlarutan sekian lama namun semakin parah sejak lima tahun kebelakangan ini.

Menurutnya, ia menyebabkan penternak di kawasan itu terpaksa menanggung kerugi­an ratusan ribu ringgit kerana ikan dan udang peliharaan mereka ‘terlepas’ dari kolam apabila air dari tali air melimpah masuk.

“Banyak saluran dan aliran air baharu yang dibina di kawasan pertanian berdekatan turut dialirkan masuk ke tali air ini menyebabkan paras air sentiasa meningkat,” katanya.

Seorang lagi penternak, Zawawi Muda, 51, berkata, selain saluran pembentung yang semakin sempit, laluan di atasnya turut menjadi mendap dan dikhuatiri runtuh bila-bila masa.

“Kita bimbang jalan dia atas pembentung ini runtuh akibat mendapan selain ia merupakan laluan keluar masuk lori untuk mengambil hasil kolam. Selain itu, jalan yang sebelum ini luas kini dikatakan hanya tinggal seluas kira-kira 3.6 meter di mana bahagian bawahnya sering terhakis olah aliran air,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini