PETALING JAYA: “Ini kerja saya. Kalau tak suka boleh teruskan skrol. Biar saya buat kerja saya.”
Demikian respons penyanyi legenda, Datuk Aishah yang tidak terkesan ditegur netizen yang kurang senang melihat gelagatnya menari di TikTok, baru-baru ini.
Menerusi perkongsian video di TikTok, Aishah atau Wan Aishah Wan Ariffin, 60, dilihat sakan menari ketika menyanyikan semula lagu Call Me nyanyian kumpulan Aisyah and The Fan Club.
Kurang senang melihat aksi ligat penyanyi itu, sesetengah netizen menyifatkan perlakuan itu tidak sesuai dengan usianya yang kini sudah mencecah 60 tahun.
“Itulah, usia dah tua tak sesuai lah,” tulis seorang pengguna media sosial.
Tidak berdiam diri dengan komen tersebut, penyanyi lagu Janji Manismu itu turut menyifatkan tindakan individu itu mengecam dirinya adalah perlakuan yang tidak baik.
“Mengata orang pada apa usia pun, tidak sesuai,” katanya.
Meskipun aksinya terkinja-kinja mendapat kritikan, nyanyiannya tetap meraih pujian dalam kalangan peminat yang masih setia menyokong kerjaya seninya.
Malah, ada juga sesetengah peminat yang meminta penyanyi itu pedulikan cemuhan yang diterima demi menghiburkan pendengar yang sentiasa merindui nyanyiannya.
“Pedulikan apa jua yang diperkatakan yang penting kita tahu landasan. Syabas,” komen seorang peminat.
“Pedulikan saja orang yang suka tengok salah orang lain! Saya suka semua lagu Aishah. Ini lagu zaman Aishah fans club ke?” kata seorang lagi peminat.