JERANTUT: Kehadiran ikan baung ekor merah di Sungai Pahang, Sungai Tembeling dan Sungai Jelai, Lipis kini menjadi ancaman serius apabila spesies pemangsa itu membaham ikan tempatan sehingga menjejaskan sumber pendapatan nelayan sungai.
Spesies berasal dari Sungai Mekong, Vietnam itu mula membiak selepas terlepas ke sungai utama ketika banjir besar 2014. Baung ekor merah (Hemibagrus wyckioides) atau dikenali Baung Mekong mampu membesar sehingga 130 sentimeter dengan berat mencecah 80 kilogram.
Nelayan mendakwa ikan itu semakin banyak ditemukan sejak lima tahun lalu dan kini mendominasi habitat sungai utama negeri. Antara ikan tempatan yang menjadi mangsa ialah patin, kelah, jelawat, temoleh, kerai dan kenerak.
Nelayan Sungai Jelai, Mohd. Shukri Yusof berkata, spesies ikan tersebut dipercayai dibawa masuk secara haram untuk ternakan sebelum terlepas ke sungai akibat banjir.
Katanya, kerajaan melalui Jabatan Perikanan perlu bertindak segera menghapuskan spesies tersebut yang dianggarkan melebihi 100,000 ekor di Sungai Tembeling dan Sungai Pahang.
Sementara itu, nelayan Sungai Pahang di Pulau Tawar, Rozi Yaakob pula pernah menangkap baung ekor merah seberat hampir 20 kilogram membuktikan spesies itu semakin membesar di sungai berkenaan.
“Saya pertama kali menangkap ikan ganas ini lima tahun lalu ketika menjaring di sungai ini. Selepas itu, saya kerap kali menemukan ikan ini tersangkut di umpan tajur malahan lebih banyak spesies ini pelbagai saiz tersangkut di jaring,” ujarnya.
Sementara itu, nelayan Kampung Pagi, Adenan Nipah, 68, berkata, dia kini sukar memperoleh ikan liar kerana anak ikan dimakan baung ekor merah.
“Ikan itu bukan sahaja membaham ikan tempatan malah turut memakan tumbuhan air, buah-buahan hanyut, serangga dan bangkai,” katanya.-UTUSAN.










